Rentas daerah dibenar dalam 6 zon di Sabah
11:03 Mar 04, 2021  |  By SabahKini2
Rentas daerah dibenar dalam 6 zon di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, aktiviti rentas sempadan ini dibenarkan mengikut zon kecuali daerah Nabawan yang kini dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KOTA KINABALU: Selaras keputusan kerajaan Persekutuan, Sabah bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 5 Mac sehingga 18 Mac depan.
 
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, aktiviti rentas sempadan ini dibenarkan mengikut zon kecuali daerah Nabawan yang kini dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
"Kita mengambil keputusan tersebut setelah mendapat maklum balas dan juga nasihat daripada pihak-pihak yang berwajib, seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dan kita memikirkan itu adalah yang terbaik.
"Tetapi kita prihatin dan mengambil kira perkembangan yang lebih positif, yang lebih stabil, kita telah mengubah suai sekatan ini dengan memasukan daerah-daerah dalam kelompok-kelompok tertentu," katanya.
 
Enam zon tersebut ialah Zon 1 (Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar), Zon 2 (Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang), Zon 3 (Kudat, Kota Marudu dan Pitas), Zon 4 (Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod), Zon 5 (Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan) dan Zon 6 (Keningau, Tambunan dan Tenom).
 

Masidi berkata, pengubahsuaian ini dilakukan setelah mengambil kira ramai antara penduduk di daerah seperti Tuaran dan Papar yang bekerja di Kota Kinabalu. Jadi, bermula Jumaat ini, mereka tidak perlu lagi melalui sekatan jalan raya untuk ke tempat kerja.

“Kita juga turut memasukkan Ranau dalam Zon Satu kerana kita melihat aktiviti ekonomi tidak dapat dijalankan sebab adanya sekatan perjalanan antara daerah.

"Dibawah PKPP, kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta, serta majlis sosial.
 
"Tertakluk kepada 50 peratus kapasiiti ruang premis dengan mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
 
Antara majlis yang dibenarkan ialah kenduri, majlis perkahwinan atau pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunionretreat dan lain-lain majlis sosial.
 
Sabah semalam mencatatkan pertambahan 95 kes positif COVID-19. Satu kes kematian dicatatkan dari daerah Putatan.Tiga daerah yang mencatatkan kes harian tertinggi ialah Keningau (31 kes), Kalabakan (17 kes), dan Kota Kinabalu (11 kes).
Comment