UMS tak pernah lantik Syarikat Asli Jati milik Peter secara rundingan terus- Bekas NC UMS
15:04 Apr 06, 2021  |  By SabahKini2
UMS tak pernah lantik Syarikat Asli Jati milik Peter secara rundingan terus- Bekas NC UMS

Saksi kes penipuan dokumen palsu Peter Anthony mengesahkan beliau sebagai Bekas Naib Canselor UMS tidak pernah melantik Syarikat milik Peter Anthony Asli Jati secara rundangan terus. Peter peralat TNC Akademik UMS!

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Mohd Harun Abdullah hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, beliau terkejut apabila menerima surat menyatakan Kementerian Kewangan telah bersetuju meluluskan permohonan universiti itu untuk melaksanakan kerja-kerja operasi serta penyelenggaraan secara rundingan terus dengan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd dan ULink Property Sdn Bhd.

Mohd Harun, 61, Naib Canselor UMS dari Jun 2012 hingga Jun 2017, ketika membacakan penyataan saksi berkata beliau terkejut kerana pada waktu itu, UMS telah melantik REMT Utama Sdn Bhd dan telah menandatangani perjanjian kontrak bagi kerja yang dimaksudkan.

“Pada 23 Julai 2014, Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Perolehan (A) UMS Bil 1/2014 telah bersetuju memilih syarikat REMT Utama Sdn Bhd bagi projek menjalankan kerja-kerja Operasi dan Penyelenggaraan Bagi Sistem Mekanikal dan Elektrikal di bangunan fasa 2B, bangunan dan infra di kampus induk, pusat rawatan warga luar Sikuati, Kudat dan bangunan lain UMS bagi tempoh masa 24 bulan dengan nilai kerja RM21,999,688.

“Pemilihan REMT Utama Sdn Bhd adalah berdasarkan tender terbuka yang diiklankan oleh UMS melalui Jawatankuasa Pemilihan Tender,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada hari pertama perbicaraan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Peter adalah Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering manakala ULink Property anak syarikat milik penuh UMS.

Saksi pertama pendakwaan itu berkata surat setuju terima dikeluarkan kepada syarikat REMT Utama pada 23 Julai 2014 dan syarikat tersebut telah mengesahkan persetujuan serta diterima oleh pejabat bendahari, Bahagian Perolehan UMS pada 31 Julai 2014.

Merujuk surat bertarikh 9 Jun 2014, beliau mengesahkan surat itu dikeluarkan dan ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S Omang Al-Haj.

“Ia dihantar kepada Perdana Menteri (ketika itu) Najib Razak tanpa pengetahuan dan kebenaran saya. Shariff tidak memaklumkan apa-apa kepada saya berhubung surat ini sehinggalah saya mengetahuinya apabila saya mendapat surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 5 Sept 2014 yang terdapat catitan Najib selaku Menteri Kewangan,” katanya.

Terdahulu, Peter, 50, mengaku tidak bersalah apabila pindaan kepada pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pindaan kepada pertuduhan utama, Peter, 50, sebagai sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada awal prosiding, mahkamah dimaklumkan Peter kini diwakili peguam baharu iaitu D Senthinathan dan Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin kerana peguamnya sebelum ini telah menarik diri daripada mewakili tertuduh.

Perbicaraan bersambung hari ini.

4 Comments