Sabah tidak laksana PKP seperti Semenanjung, SOP sedia ada kekal kata Masidi
01:05 May 11, 2021  |  By SabahKini2
Sabah tidak laksana PKP seperti Semenanjung, SOP sedia ada kekal kata Masidi

Dalam mesyuarat MKN Masidi Manjun memohon kepada perdana menteri agar Sabah meneruskan pengurusan Covid-19 seperti kaedah sekarang yang terbukti berkesan. Ini bermakna SOP yang digunakan hampir sama dengan SOP sekarang. Semuanya demi rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, SOP yang diguna pakai di Sabah sekarang dikekalkan, walaupun Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai Rabu hingga 7 Jun.

Dalam erti kata yang lain Negeri Sabah tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kerajaan negeri memohon pengurusan Covid-19 yang diamalkan di Sabah sekarang diteruskan.

“Dalam mesyuarat MKN petang tadi, saya telah memohon kepada perdana menteri agar Sabah meneruskan pengurusan Covid-19 seperti kaedah yang kita amalkan sekarang kerana ia terbukti berkesan.

”Permohonan saya telah dipersetujui perdana menteri dan MKN. Sehingga ada arahan baharu, saya andaikan Sabah masih berstatus PKPB atau kalau pun berstatus PKP, tetapi SOP yang digunakan hampir sama dengan SOP sekarang,” katanya

Mesej penjelasan Masidi Manjun itu tular dalam aplikasi whatsapp dan laman sosial menyatakan Sabah tidak melaksanakan PKP.

Hari ini Muhyiddin mengumumkan PKP di seluruh negara dengan langkah khusus yang sedang dilakukan di Sabah, Sarawak dan Labuan diteruskan.

Antara SOP yang diguna pakai di Sabah ketika ini termasuk membenarkan orang ramai makan di dalam premis dan semua aktiviti sukan serta rekreasi.

Sempena Aidilfitri ini juga, ziarah hari raya dibenarkan, namun hanya dalam kalangan ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang.

Lain-lain aktiviti yang dibenarkan ketika hari raya ialah takbir raya dan solat sunat di masjid serta surau, jamuan selepas solat hari raya di masjid dan surau dengan syarat penyediaan makanan secara berbungkus dan diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

Menziarahi kubur ketika hari raya juga dibenarkan, tetapi tidak melebihi 30 minit dan enam orang untuk satu lot kubur.

Bagaimanapun, penganjuran rumah terbuka dan semua aktiviti perayaan dilarang sama sekali di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Kerajaan negeri turut mengumumkan larangan rentas daerah mulai hari ini hingga 16 Mei.

Dengan penjelasan Datuk Masidi Manjun itu terjawab tentang SOP yang berubah-berubah setiap hari berhubung pelaksanaan PKP di Semenanjung.

Tan Sri Dr Noor Hisham baru-baru ini dalam kenyataan medianya memuji usaha Kerajaan Negeri Sabah dan JKNS (KKM) dalam menangani wabak Covid-19 di Sabah. Larangan rentas daerah dan penetapan 6 zon utama berjaya mengurangkan kes di Sabah. Katanya negeri lain perlu mencontohi Sabah.

[ARTIKEL BERKAITAN- (VIDEO) Tangani Covid-19, negeri lain perlu belajar dari Sabah- KP Kesihatan ]

Kerajaan GRS juga tidak bersetuju melaksanakan arahan Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE)  yang menyenaraikan  premis di Sabah seperti Centre Point Shopping Mall, Suria Shopping Mall dan Kompleks Karamunsing sebagai kawasan titik panas penularan.

[ARTIKEL BERKAITAN - Sabah buat keputusan benarkan 3 Pasar Raya dalam senarai HIDE beroperasi ]

Sabah buat keputusan benarkan 3 Pasar Raya dalam senarai HIDE beroperasi

Rakyat Sabah mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan Datuk Seri Masidi Manjun atas kesungguhan menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri sehingga berjaya mengawal Covid-19 merebak di Sabah kepada dua angka sehari.

Ini juga bukti kerjasama parti dalam Kerajaan GRS mengutamakan penyelesaian kes Covid-19 berbanding nafsu politik. Cukuplah apa yang Shafie Apdal dan Kerajaan Warisan lakukan dengan membubarkan Dun Sabah menyebabkan punca utama PKP Malaysia hari ini.

Dalam tempoh seminggu yang lalu sejak 4 Mei kes covid-19 Sabah kekal dua angka dari 50 kes hingga 96 kes pada 10 Mei.

8 Comments