Masuk Sabah tidak perlu ujian saringan Covid-19- Masidi
14:11 Nov 28, 2021  |  By SabahKini2
Masuk Sabah tidak perlu ujian saringan Covid-19- Masidi

Masidi berkata pengembara domestik yang lengkap vaksin hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan bukti status telah lengkap divaksin ketika penilaian risiko di pintu masuk Sabah.

Semua pelawat domestik lengkap vaksin dibenarkan masuk ke Sabah tanpa perlu menjalani ujian saringan Covid-19, berkuatkuasa 1 Dis ini, menurut Masidi Manjun.

Dalam satu kenyataan, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah itu berkata bagi individu berusia 12 tahun ke atas yang belum divaksin atau belum lengkap divaksin perlu melakukan saringan dan menunjukkan slip keputusan ujian negatif di pintu masuk negeri ini.

Katanya, bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan perlu mengemukakan laporan perubatan yang disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Masidi berkata pengembara domestik yang lengkap vaksin hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan bukti status telah lengkap divaksin ketika penilaian risiko di pintu masuk Sabah.

“Sekiranya bergejala, individu terbabit akan diarahkan untuk menjalani ujian Covid-19 dan diberikan arahan ‘Home Surveillance Order’ atau HSO sehingga keputusan dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Masidi berkata bagi individu yang belum divaksin atau belum menerima vaksin lengkap tertakluk dengan SOP sedia ada iaitu membuat ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum memasuki Sabah dan mengisi borang deklarasi kesihatan.

Manakala bagi pengembara antarabangsa yang lengkap vaksin, mereka diarahkan menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari dan menjalani ujian saringan RT-PCR pada hari ke lima tempoh kuarantin.

Tambahnya lagi, pengembara antarabangsa yang belum menerima vaksin lengkap diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari dan menjalani ujian saringan RT-PCR pada hari ketujuh tempoh kuarantin.

Masidi berkata pengembara antarabangsa diwajibkan menjalani ujian saringan RT-PCR ketika ketibaan dan mendapat kelulusan HSO daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Namun bagi yang tidak mendapat kelulusan HSO KKM, pengembara boleh meneruskan perjalanan ke Sabah dan dikuarantin di pusat kuarantin hotel (yang diwartakan) atau pusat kuarantin Institut Latihan Awam (ILA) yang disediakan di negeri ini,” katanya.

 

Comment