Sabah bertegas tuntut cukai jualan negeri daripada Hibiscus Petroleum Bhd
23:06 Jun 10, 2022  |  By SabahKini2
Sabah bertegas tuntut cukai jualan negeri daripada Hibiscus Petroleum Bhd

Kerajaan Sabah wajar bertegas menuntut Cukai Jualan Negeri 5% produk petroleum. Hibiscus miliki pegangan 50% dalam PSC Sabah Utara. Alasan beroperasi di Labuan sangat dangkal. Minyak dari Sabah.

KOTA KINABALU- Kerajaan Sabah komited sepenuhnya untuk menggunakan semua hak perlembagaan dan perundangan dalam menuntut Cukai Jualan Negeri (SST) yang perlu dibayar untuk penjualan produk petroleum daripada Repsol Oil and Gas Ltd (REPSOL) dan SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEAH).

Menteri Kewangan Kedua Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata langkah itu adalah mengikut Enakmen Cukai Jualan Negeri 1988.

Masidi, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, merujuk kepada kenyataan Hibiscus Petroleum Bhd baru-baru ini berhubung keengganan membuat pembayaran SST oleh anak syarikat milik penuhnya REPSOL dan SEAH.

“Untuk rekod, kedua-dua REPSOL dan SEAH telah memohon kepada Kementerian Kewangan (Sabah) dan kemudiannya dikeluarkan dengan lesen yang diperlukan sebagai ‘orang kena cukai’ menurut Peraturan Cukai Jualan Negeri 1999.

“Oleh itu, kerajaan negeri secara mutlak menyangkal dakwaan atas dasar REPSOL dan SEAH enggan membuat pembayaran SST dan telah pun menuntut pembayaran yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masidi mendakwa terdapat perbincangan antara wakil-wakil pihak terlibat berhubung isu ini.Walau bagaimanapun, perkara itu kini telah menemui jalan buntu dan kedua-dua syarikat kekal bertanggungjawab dan mempunyai kewajipan berterusan untuk membuat pembayaran bagi jumlah SST yang tertunggak, termasuk penalti.

“Kerajaan negeri Sabah berhak untuk mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu mengikut kuasa, pihak berkuasa dan bidang kuasa negeri,” katanya.

9 syarikat bayar Cukai Jualan Negeri Sabah 5%

Untuk rekod Kementerian Kewangan Sabah sejak 1 April 2020 lagi telah menghantar surat pengenaan cukai kepada sembilan syarikat yang merupakan pemilik berfaedah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd; Petronas Floating LNG 1 (L) Limited.

Turut terbabit adalah Sabah Shell Petroleum Company Limited; dan Shell Energy Asia Limited; Hibiscus Petroleum Berhad; Repsol Oil & Gas Malaysia Limited; PTTEP Sabah Oil Limited; PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi; dan ConocoPhilips Sabah Limited.

Oleh itu dakwaan Syarikat Hibiscus Petroleum Bhd bahawa anak syarikatnya REPSOL Oil & Gas M Ltd (RML) telah memberhentikan pembayaran cukai jualan negeri (SST) selepas rayuannya disambut dengan senyap daripada menteri kewangan Sabah adalah tidak benar sama sekali.

Alasan Hibiscus memutuskan menghentikan bayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5% kepada Kerajaan Sabah bagi penjualan minyak yang dihasilkan daripada kontrak Perkongsian pengeluaran Kinabalu Oil (PSC) kerana penjualan minyak mentah berlaku di dalam Wilayah Persekutuan Labuan, yang berada di luar bidang kuasa Sabah.

"Hibiscus memiliki pegangan 50% dalam PSC Sabah Utara dan mereka tidak membayar SST untuk penghasilan minyak mentah namun Kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan kepada produk petroleum bermula 2020," kata mereka.

 

Hibiscus Petroleum untung bersih RM307.54 juta

25 Mei lalu Hibiscus Petroleum Bhd mengumumkan untung bersih Hibiscus Petroleum meningkat kepada RM307.54 juta daripada RM32.03 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, susulan harga minyak tinggi dan kos operasi rendah.

Kumpulan eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas itu merekodkan hasil sebanyak RM297.06 juta meningkat daripada RM215.98 juta sebelumnya.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen bagi setiap saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022, yang perlu dibayar pada 22 Julai, 2022.

Hibiscus Petroleum dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata sejumlah 471,973 tong minyak mentah dijual pada suku semasa terdiri daripada 300,252 tong minyak mentah daripada North Sabah, 74,304 tong daripada Anasuria Cluster dan 97,417 tong daripada aset yang baru diambil alih, iaitu PM3 CAA (Kawasan Pengaturan Komersial) dan PM305 serta PM314, kedua-duanya di Malay Basin.

Syarikat itu berkata segmen North Sabah merekodkan hasil dan keuntungan kasar masing-masing sebanyak RM113.1 juta dan RM80.7 juta pada suku ketiga.

Dan sekarang selepas Hibiscus Petroleum Bhd untung mereka tak mahu bayar Cukai Jualan Negeri Sabah 5% yang telah berkuatkuasa.

Diharap Kerajaan Sabah bertegas dengan Hibiscus Petroleum Bhd. Jika 8 syarikat minyak gas diarah bayar Cukai Jualan Negeri untuk penjualan produk petroleum mengapa pula Hibiscus Petroleum Bhd tidak mahu membayar yang diambil daripada perairan Sabah itu. Jika Hibiscus Petroleum Bhd mendapat pelepasan Cukai Jualan pastinya syarikat lain juga berbuat demikian. 

Baru-baru ini Kerajaan Sabah juga bertindak dengan syarikat dan kilang-kilang sawit di Sabah yang membuat penipuan dengan mengisytiharkan pendapatan palsu bagi mengelak membayar Cukai Jualan Minyak Sawit mentah. Oleh itu syarikat-syarikat yang perlu membayar  Cukai Jualan Negeri  produk petroleum juga tidak terkecuali.

20 Comments