Terus tuntut 40 peratus hasil Sabah dikutip Kerajaan Persekutuan – Hajiji KM
10:09 Sep 18, 2022  |  By SabahKini2
Terus tuntut 40 peratus hasil Sabah dikutip Kerajaan Persekutuan – Hajiji KM

Sabah akan tanpa henti menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip kerajaan Persekutuan seperti ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan

KOTA KINABALU :  Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman serta hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan semua tuntutan Sabah dipenuhi sekali gus dilaksanakan.

Hajiji berkata beliau percaya isu hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama antara kerajaan Sabah dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan serta muafakat atas semangat Keluarga Malaysia. 

“Dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)  dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada 8 Sept lalu, saya telah mengulangi Sabah akan tanpa henti menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip kerajaan Persekutuan seperti ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat Sabah di sini 

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Hajah Norlidah R.M. Jasni merupakan tetamu kehormat sambutan berkenaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah dan Datuk Dr Joachim Gunsalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim M. Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.

Lebih 5,000 masyarakat Sabah berbilang kaum menghadiri sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di Padang Merdeka di sini dengan pelbagai acara menarik diadakan termasuk tayangan montaj dan persembahan khas ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ daripada Lembaga Kebudayaan Sabah.

Sambutan itu turut dihiasi dengan pertunjukan bunga api serta pelbagai acara termasuk persembahan kebudayaan, memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia oleh Tun Juhar dan penyerahan Jalur Gemilang oleh peserta Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022.

Hajiji berkata Sabah telah melangkah jauh sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia pada 16 Sept 1963, walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA63.

Mengenai Hari Malaysia, Hajiji berkata 16 Sept merupakan tarikh bersejarah kepada seluruh rakyat untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Marilah kita bersama-sama mempertahankan keamanan dan perpaduan dikecapi ini hingga ke generasi akan datang”, katanya.

 

Comment