Isteri hanya wakil. Cuma pada masa akan datang dipastikan tidak akan berulang dan Mohd Shafie menggesa semua menteri dan pembantu menteri kabinet negeri tidak melakukan perkara seumpama itu pada masa hadapan.
KOTA KINABALU: Susulan kontroversi isteri kepada Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar menghantar Datin Hajah Faridah Mohamed isterinya sebagai wakil Merasmikan Majlis Graduasi Pra Universiti SMK Majakir Papar ke10 di Pacific Sutera Harbour Resort 28 Oktober lalu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyeru agar ia tidak diperbesarkan.
[ARTIKEL BERKAITAN- Tindakan Menteri Warisan Sabah wakilkan Isteri ke majlis rasmi ‘YB’ dipertikai ]
Beliau berkata, perkara itu hanyalah sekadar menjadi wakil dan isteri menteri tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menurunkan tandatangan ataupun mengumumkan apa-apa projek.
Demikian penjelasan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika ditanya mengenai tindakan menteri berkenaan yang menghantar isterinya sebagai wakil program menteri itu.
Bagaimanapun beliau menegaskan pada masa akan datang, kerajaan negeri akan memastikan perkara itu tidak akan berulang dan Mohd Shafie juga menggesa kepada semua menteri dan pembantu menteri kabinet negeri agar tidak melakukan perkara seumpama itu pada masa hadapan.
“Dia bukan ada kuasa pun. Cuma mewakili sahaja. Tetapi jika dia menurunkan tanda tangan atau mengumumkan kelulusan projek atau sebaliknya, tindakan itu jelas salah,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pameran Khas 'Dirgahayu Tuan Yang Terutama' dan 'Muzik Retro Sabah Era 60-an dan 70-an' di Kompleks Muzium Sabah.
Isu itu, menjadi buah mulut rakyat di negeri ini selepas gambar ketika majlis itu tular di laman sosial Facebook dan didedahkan portal Sabahkini2.
Terdapat juga pengguna Facebook yang mempersoalkan tindakan menteri berkenaan untuk menghantar isterinya untuk mewakili beliau dalam majlis rasmi seolah-olah timbalan menteri atau Setiausaha Politik beliau tidak layak untuk dihantar sebagai wakil. Ia dilihat seolah-olah isteri mencampuri urusan suami sebagai menteri.