Mahkamah belum tentukan, Petronas akan teruskan tindakan undang-undang terhadap Sarawak
13:06 Jun 23, 2018  |  By SabahKini2
Mahkamah belum tentukan, Petronas akan teruskan tindakan undang-undang terhadap Sarawak

Paling penting mahkamah tidak menentukan atau mengesahkan merit kedudukan undang-undang diambil Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengawal selia aktiviti petroleum huluan bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akur akan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan pendengaran kes berhubung tuntutan syarikat itu terhadap hak eksklusifnya di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Petronas dalam kenyataannya semalam menyatakan keputusan itu tidak mematahkan usaha syarikat minyak dan gas negara itu untuk meneruskan tindakan undang-undang.

Ia bertujuan mendapatkan penjelasan akan hak dan kedudukan Petronas yang termaktub dalam PDA 1974.

Pada prosiding awal kes di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak kelmarin, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan.

Permohonan pendengaran itu tidak dapat dilakukan kerana tuntutan tersebut berada di luar bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Paling penting mahkamah tidak menentukan atau mengesahkan merit kedudukan undang-undang yang diambil Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengawal selia aktiviti petroleum huluan bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

Mahkamah Persekutuan juga menyatakan konsesi oleh Kerajaan Sarawak bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) telah dibuktikan secara sah.

Ini memperkuat pandangan Petronas bahawa hanya Parlimen boleh meluluskan undang-undang mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan industri huluan petroleum termasuk kuasa pengawalseliaan di seluruh Malaysia berdasarkan PDA 1974. – Sarawakvoice

Comment