Musa sahkan berada di UK, dakwa keluar Malaysia secara sah
17:06 Jun 29, 2018  |  By SabahKini2
Musa sahkan berada di UK, dakwa keluar Malaysia secara sah

Tun Juhar secara salah meminta Musa meletakkan jawatan dalam tempoh 48 jam, enggan menandatangani surat pelantikan Adun dilantik serta mahu Shafie jadi Ketua Menteri.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang dikehendaki polis berhubung laporan dibuat Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, baru-baru ini, hari ini mengesahkan berada di United Kindom (UK).

Musa dalam satu kenyataan diedarkan melalui pegawai perhubungan media beliau di sini, hari ini, turut mengesahkan beliau berada di negara itu bagi mendapatkan rawatan perubatan, selain atas alasan peribadi.

Beliau juga mendakwa keluar secara sah pada 16 Mei lalu dan menyangkal dakwaan kononnya keluar atau memasuki UK secara haram seperti dakwaan beberapa pihak sebelum ini.

“Ia menyimpulkan bahawa saya menjadi orang buruan dan sengaja mengelak daripada pihak berkuasa berhubung siasatan majlis di Istana Negeri pada malam 10 Mei lalu dan perkara berkaitan.

“Tiada apa yang boleh diteruskan daripada perkara sebenar. Saya percaya beberapa laporan ini dibuat dengan niat memalukan atau memburukkan saya atas alasan politik.

“Sebenarnya, saya keluar Malaysia secara sah mengikut undang-undang pada 16 Mei lalu dan sekarang berada di UK untuk menjalani rawatan dan atas alasan peribadi,” katanya.

Musa berkata, beliau sudah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan perintah terhadap Juhar dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung tindakan ultra vires serta tidak berperlembagaan selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu.

“Beliau (Juhar) secara salah meminta saya meletakkan jawatan dalam tempoh 48 jam, enggan menandatangani surat pelantikan dan bermaksud untuk melantik Shafie sebagai Ketua Menteri sedangkan saya masih memegang jawatan berkenaan.

“Perkara ini sekarang subjudis di Mahkamah Tinggi berikutan saman pemula yang saya failkan sebelum ini,” katanya.

Musa dalam kenyataannya turut menjelaskan beliau sedia membantu polis dan pihak lain berhubung perkara itu, selain sudah memaklumkan beliau sudah menjelaskannya kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk RamliDin.

Katanya, sebarang soalan atau permintaan untuk maklumat lanjut berhubung kes berkenaan perlu dikemukakan melalui peguamnya di Malaysia dan London.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sebelum ini dipercayai berada di London berdasarkan rakaman gambar yang tersebar dalam laman sosial.

Ia menimbulkan spekulasi kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu keluar secara haram dari negara ini berikutan kenyataan Jabatan Imigresen sebelum ini melaporkan tiada rekod Musa keluar dari Malaysia. 

1 Comment