Beliau memperoleh 99 undi sekali gus mengatasi dua pesaingnya iaitu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (51 undi) dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (23 undi).

Baru-baru ini, Ahmad Zahid menyatakan komitmennya untuk memastikan UMNO kembali bangkit dalam persada politik tanah air sekiranya beliau diberi kepercayaan oleh akar umbi untuk menerajui kepemimpinan parti.

Langkah-langkah pemulihan yang dicadangkan beliau termasuk memberi ruang kepada ahli-ahli untuk mengkritik kepemimpinan parti mengikut peradaban UMNO, mewujudkan majlis syura serta melaksanakan langkah pemutihan ahli.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh menawarkan enam teras untuk memulihkan UMNO selepas kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang antaranya me­nyentuh tentang mengembalikan UMNO kepada ideologi sebenar, menjadikan UMNO parti paling demokratik dan terbuka serta membongkar potensi generasi muda Melayu di dalam dan luar parti.

Khairy pula membentangkan lapan perkara dalam manifestonya seperti memastikan pemilihan dilakukan setiap tiga tahun tanpa penangguhan, tiada usul menghalang pertandingan mana-mana jawatan dan menambah dua jawatan Naib Presiden khusus untuk golongan wanita serta memwakili UMNO Sabah.

Dua lagi calon yang bertan­ding untuk jawatan Presiden UMNO iaitu Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd. Yusof Musa @ Jamaluddin belum menerima sebarang undi daripada 190 bahagian di seluruh negara.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO apabila memperoleh 131 undi, mengatasi Tan Sri Annuar Musa yang menerima 88 undi.