Projek Kerajaan BN Pan Borneo diteruskan
10:07 Jul 02, 2018  |  By SabahKini2
Projek Kerajaan BN Pan Borneo diteruskan

Demi pembangunan projek infrastruktur oleh kerajaan BN akan diteruskan

KENINGAU- Perbincangan bagi memastikan projek kemudahan infrastruktur yang besar termasuk Lebuhraya Pan Borneo diteruskan di Sabah telahpun diadakan bersama Mohd Shafie Apdal, kata Datuk Seri Madius Wilfred Tangau.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata perbincangan itu diadakan bagi merancang lebih banyak projek perindustrian di negeri ini sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

"Kita akan meningkatkan pelaburan, terutama bagi meningkatkan industri hiliran kelapa sawit, petroleum, kayu balak, sumber kayu-kayan seperti getah dan sebagainya. Sebab itulah kita perlu kemudahan infrastruktur yang baik," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Nasional 2018 di sini, hari ini.

Madius berkata beliau akan memastikan aktiviti menjana kekayaan dalam kalangan rakyat negeri ini akan dipertingkatkan, dengan memperkenalkan program pembangunan sumber yang boleh mendatangkan hasil kekayaan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi tujuan itu katanya, beliau telah mengarahkan pemimpin akar umbi untuk mengenal pasti sumber berpotensi yang boleh diketengahkan seperti halia di Tambunan yang produknya telahpun menembusi pasaran China.

"Bakat-bakat yang ada di setiap kawasan juga perlu dikenal pasti untuk dijadikan usahawan yang berjaya. Saya ingin melihat apa sahaja produk yang boleh diusahakan di setiap daerah di Sabah," katanya.

Untuk rekod Kerajaan Negeri Sabah dalam RMK-9 dan RMK-10 menerima peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) RM14 bilion sebelum ini ketika Shafie Apdal sebagai Menteri KKLW dan BN untuk melaksana projek pembangunan infrastruktur luar bandar. Bagaimanapun banyak yang tidak dapat dilaksanakan dengan peruntukan terbesar itu.

3 Comments