Kerajaan pastikan beri kewarganegaraan kepada PATI ikut peraturan- Tangau
11:07 Jul 02, 2018  |  By SabahKini2
Kerajaan pastikan beri kewarganegaraan kepada PATI ikut peraturan- Tangau

Kami tidak akan biarkan pemberian mana-mana kewarganegaraan tanpa mengikut peraturan dan undang-undang- Tangau

KENINGAU: Dakwaan kononnya wujud pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal merupakan tohmahan dan propaganda daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Madius Wilfred Tangau berkata dakwaan itu adalah tidak benar, sebaliknya kerajaan baharu Sabah ketika ini sangat teliti mengenai isu PATI dan usaha untuk menanganinya dipergiatkan pada setiap masa melalui saluran undang-undang sedia ada.

"Semua ini tidak betul (beri kewarganegaran kepada PATI) dan rakyat perlu yakin bahawa kerajaan yang ada pada hari ini tetap memastikan supaya peraturan dan undang-undang yang berkaitan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

"Kami tidak akan biarkan pemberian mana-mana kewarganegaraan tanpa mengikut peraturan dan undang-undang dan saya sendiri akan memastikan peraturan dan undang-undang di negeri ini dilaksana dengan baik," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya UPKO Nasional 2018 di sini, pada Ahad.

Madius yang juga Pemangku Presiden UPKO menyarankan agar mana-mana pihak atau rakyat di negeri ini yang mempunyai maklumat dan bukti mengenai sebarang pelanggaran undang-undang di negara ini untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedict, Anggtota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Rasinin Koutis, ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir serta beberapa lagi pemimpin UPKO.

-- BERNAMA

1 Comment