Krisis Perlembagaan dan hak-hak Sabah- Dr Jeffrey
10:07 Jul 05, 2018  |  By SabahKini2
Krisis Perlembagaan dan hak-hak Sabah- Dr Jeffrey

saya ingin mengingati Dewan mulia ini bahawa krisis Perlembagaan masih berlarutan dengan perlantikan dua (2) Ketua Menteri yang kini dibawa ke Mahkamah untuk diadili.

UCAPAN PERBAHASAN DUN JUN 2018 OLEH DATUK DR. JEFFREY KITINGAN (ADUN N.32 TAMBUNAN);

Tuan Speaker,
Terima kasih kerana memberi saya peluang berbahas.

Tuan Speaker,
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada TYT Yang DiPertua Negeri atas ucapan syabas dan tahniah kepada YB2 di Dewan mulia ini yang Berjaya dipilih pada PRU-14 pada 9hb Mei 2018 dan UCAPAN DASAR untuk pembangunan Sabah.

KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG

Menyentuh Kerajaan Sabah yang dirujuk oleh TYT, saya ingin mengingati Dewan mulia ini bahawa krisis Perlembagaan masih berlarutan dengan perlantikan dua (2) Ketua Menteri yang kini dibawa ke Mahkamah untuk diadili. Saya difahamkan bahawa memandangkan keputusan belum dibuat oleh Mahkamah, perkara siapa adalah Kerajaan Sabah yang sah belum boleh dikata sebagai muktamad dan perbincangan mengenainya adalah “subjudice”.

Keputusan Mahkamah boleh memihakkan mana-mana Ketua Menteri dan akibatnya boleh membawa kesan yang bertentangan.

Tuan Speaker,
Saya juga ingin menyatakan bahawa Malaysia dan Sabah mengamalkan sistem demokrasi bermodel WESTMINSTER dimana terdapat tiga (3) CABANG KERAJAAN, Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman dan SISTEM KETUA NEGARA BERPERLEMBAGAAN (Consitutional Head of State/Monarchy). Dalam system kerajaan ini, setiap CABANG dan Ketua Negara mengamalkan PENGASINGAN KUASA (Separation of Powers) mengikut Perlembagaan Sabah. Setiap Cabang tidak boleh mencampuri hal Cabang yang lain sama dengan Ketua Negara hanya mengambil peranan mengikut Perlembagaan dan tidak boleh mencampuri hal politik.

Oleh yang demikian, saya berharap Ketua Negara, Ketua Eksekutif, Ketua Dewan yang mulia ini dan YB2 Dewan mulia ini akan memahami dan memainkan peranan masing-masing dengan MENGHORMATI PERLEMBAGAAN SABAH dan KELUHURAN UNDANG-UNDANG (Rule of Law).

Kalau tidak, akibatnya adalah kekecohan, huru-hara dan kemusnahan sistem pentadbiran Sabah dan penderitaan rakyat.

MENEGAK KEBENARAN DAN BUKAN DENIAL SYNDROM…

Tuan Speaker,
Untuk Sabah betul-betul maju dan makmur dan rakyat Sabah menikmatinya, kita memerlukan satu Kerajaan dan pemimpin-pemimpin yang telus, amanah, berintegriti, berprinsip, bermoral, cekap, berpegang RULE OF LAW dan MENEGAK KEBENARAN (Speak the Truth) dan bukan mengamalkan SINDROM PENAFIAN (DENIAL SYNDROME).
Sabah tidak akan maju dan tidak akan kemana-mana jika kita tidak tidak telus, kurang amanah, tidak berintegriti, tidak berprinsip, tidak bermoral, tidak cekap, tidak menghormati Perlembagaan dan Undang-undang dan mengkabur diri dengan illusi khayalan dan tidak berpijak bumi.

Demi menegak kebenaran dan DEMI SABAH YANG TERCINTA, kita harus memperakui apa yang benar tanpa memutarbelit fakta atau hanya memberitahu separuh-fakta atau mempunyai kepentingan tertentu samada peribadi, politik, parti atau bersandarkan kepada pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan Persekutuan atau menuduk kepada pemimpin-pemimpin Malaya.

Misalnya, bukan sahaja tidak mengikhtiraf kewujudan sebenar pendatang asing tanpa izin, kekurangan kemudahan asas, masalah kemiskinan dan kemiskinan tegar. Bukan juga mencabar kesahihan rezab kewangan tetapi gagal memberitahu fakta kedudukan kewangan sebenar. Jika kita tidak mengetahui hal atau fakta yang sebenar, bagaimana kita dapat merumuskan dasar dan langkah-langkah yang betul untuk mengatasi masalah.

Tuan Speaker,
Mengenai kedudukan kewangan sebenarnya, saya ingin bertanya apakah jumlah rezab kewangan Sabah yang sebenar setakat yang terkini?

Kita juga tidak boleh melaung-laungkan dasar untuk meraihkan populariti atau untuk mengembirakan penyokong sahaja tanpa membuat kajian yang terperinci. Jika ESSCOM mengesyorkan pengharaman pam-bot dan perdagangan “barter-trade” sebelum ini, ia mesti diwujudkan demi keselamatan Sabah dan berdasarkan alasan-alasan tertentu, kita tidak boleh sesuka hati membatalkan pengharamannya atau umum dasar-dasar lain seperti pengekspotan ketam dan lobster atau tidak memberi pas kerja untuk pendatang asing tanpa pengkajian terperinci.

Tuan Speaker,
Mengenai kedudukan keselamatan Sabah, saya ingin bertanya adakah benar kisah bot-bot dari seberang yang mengkibarkan bendera Parti Warisan tidak dapat diperiksa atau tidak dibenarkan diperiksa oleh peronda ESSCOM seperti yang diviralkan dimedia social kerana bot-bot tersebut mengkibar bendera Parti tersebut? Cuma tanya saja.

Mengenai pas pekerja untuk pendatang asing, saya ingin bertanya apakah prosedur yang dicadangkan untuk memutihkan mereka dan dibawah apa undang-undang dan peraturan ianya akan dilaksanakan? Dan juga bila ianya dilaksanakan apakah langkah-langkah pencegahan yang boleh menjaminkan bahawa tiada penyalahgunaan kuasa pengeluaran pas tersebut. Kita harus ingat bahawa zaman IMM13 dikeluarkan sehingga sekarang, ramai pemegangnya telah dikeluarkan Kad Pengenalan dan MyKad tanpa mengikut undang-undang seperti yang ditemui dalam Lapuran RCI Mengenai Pendatang Asing di Sabah.

Juga selepas PRU-14, terdapat berita bahawa ada peningkatan mendedah untuk pelawat ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memohon untuk membuat MyKad sehingga pejabat JPN dikatakan terpaksa menutup pintu sebab terlalu ramai yang datang pada hari tersebut. Adakah perkara tersebut akan disiasatkan?

Tuan Speaker,
Bukan saya nak kata tidak boleh ubah dasar, tapi buatlah kajian terperinci dan turun padang mendengar pandangan-pandang orang yang terlibat serta pihak-pihak berkepentingan (Stakeholders).

Tuan Speaker,
Kita juga harus membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan menghapuskan aktiviti-aktiviti rasuah supaya Sabah dapat menikmati pembangunan yang sebenarnya. Suka tidak suka, tidak boleh dinafikan bahawa skandal Jabatan Air Sabah dan skandal rasuah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah menjejaskan pembangunan bekalan air dan pembangunan luar bandar di Sabah.

KEMENTERIAN-KEMENTERIAN BARU

Tuan Speaker,
Saya ingin mengucapkan syabas kepada inisiatif mengwujudkan beberapa Kementerian baru khasnya, Pendidikan, Kesihatan dan Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.
Mengenai Kementerian-Kementerian baru, saya ingin bertanya apakah dan sejauh manakah bidangkuasa pengambilaalihan (scope of takeover) dan kuasa autonomi yang dicadangkan untuk Pendidikan dan Kesihatan.

Ini amat penting sebab sekiranya ianya tidak berkuasa dan tidak berhak membuat dasar dan hanya untuk melaksanakan program untuk ditetapkan oleh Kementerian Pesekutuannya, pengwujudan Kementerian-Kementerian tersebut adalah tidak bermakna dan tidak membawa apa-apa perubahan kepada Sabah dan rakyat Sabah.

Tuan Speaker,
Juga tidak kurang penting adalah apakah cadangan dan dasar peneraju (policy initiatives) yang dicadangkan untuk Kementerian-Kementerian baru tersebut. Dan untuk Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri (Ministry of Law and Native Affairs), apakah fungsi dan bidangkuasa yang dicadangkan untuk Kementerian tersebut selain daripada isu tanah NCR?

LANGKAH-LANGKAH MENANGANI ISU-ISU HAK SABAH

Tuan Speaker,
Saya ingin bertanya kepada Kerajaan yang dikatakan sediada sekarang apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk menangani isu-isu berikut:-
Adakah Kerajaan Sabah ingin mengikhtiraf dan mengishtiharkan 31hb Ogos sebagai HARI KEMERDEKAAN SABAH dan menyambutnya secara rasmi sebagai cuti umum HARI SABAH seperti HARI SARAWAK di Sarawak?

Memandangkan adalah juga niat Parti Warisan dan Pakatan Harapan untuk mengembalikan Hak Sabah, Adakah dan Bilakah tindakan akan diambil untuk memulihkan status TYT balik kepada TYT Yang DiPertua Negara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Sabah daripada 16hb September 1963 hingga 27hb Ogos 1976.

Apakah tindakan yang akan diambil untuk mengembalikan status Sabah sebagai RAKAN KONGSI SAMATARAF DENGAN MALAYA dalam Persekutuan Malaysia dan pindaan dan pemansuhan kepada Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan?

Apakah tindakan yang akan diambil untuk melaksanakan pengembalian kepada Sabah 50% Hasil yang dipungut dari Sabah dan 20% royalti minyak (atau cash payment) seperti yang dijanjikan dalam MANIFESTO PAKATAN HARAPAN untuk Sabah;

Apakah tindakan yang akan diambil untuk review dan atau untuk mengambil tindakan undang-undang untuk membatalkan Petroleum Development Act 1974 (PDA74) memandangkan ianya satu akta yang tidak bersahih melanggar Perlembagaan Persekutuan;

Apakah tindakan yang akan diambil untuk mengambilbalik hakmilik minyak dan gas Sabah yang telah diserahhak kepada Petronas secara tidak sah pada 1975?

Apakah tindakan yang akan diambil untuk menuntut pembayaran tunggakan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah daripada kegagalan mematuhi peruntukan-peruntukan bayaran royalty dan 40% hasil bersih yang diperolehi dari Sabah dan yang dikatakan oleh pemimpin Parti Warisan sebelum PRU-14 berjumlah sebanyak RM1.0 trilion?

Adakah tindakan akan diambil untuk melaksanakan kawalanselia perundangan (regulatory control) keatas industry minyak dan gas mengikut undang-undang Sabah seperti Ordinan Tanah (Bab. 68) dan Ordinan Perlombongan 1960 (Sabah) seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak berkuatkuasa 1hb. Julai 2018?

Bilakah tindakan akan diambil untuk melaksanakan SABAH IC yang dijanjikan oleh Parti Warisan sebelum PRU-14 akan dilaksanakan sekiranya Parti Warisan menang dan menubuhkan Kerajaan Sabah?

Apakah tindakan yang akan diambil untuk melaksanakan syor-syor Jawatankuasa Teknikal untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah seperti yang terkandung dalam Lapuran RCI Mengenai Pendatang Asing di Sabah dimana terdapat pendatang asing yang diberi kerakyatan Malaysia tanpa mengikut undang-undang dan juga pendatang asing yang didaftar dan disenaraikan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih oleh Suruhanjaya Pilihanraya dimana pemimpin-pemimpin Parti Warisan dan Pakatan Harapan selalu menuduh Kerajaan Barisan Nasional gagal mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melaksanakan syor-syor tersebut?

Bilakah langkah-langkah diambil untuk melaksanakan Hak-Hak Sabah seperti yang terkandung dalam MA63, 20-Perkara, Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain dokumen berpelembagaan seperti yang diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin Parti Warisan sebelum PRU-14 bahawa tidak perlunya berunding dan tidak perlu apa-apa jawatankuasa, dan yang hanya memerlukan pelaksanaan sahaja?

40% HASIL BERSIH DARI SABAH, ROYALTI MINYAK

Tuan Speaker,
Artikel 112C dan Bahagian IV Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Sabah berhak menerima setiap tahun secara berpelembagaan 40% hasil bersih yang diperolehi dari Sabah. Jumlah ini dianggar berjumlah RM10.0 bilion hingga RM20.0 bilion setiap tahun. Namun demikian, jumlah 40% yang sebenar tidak dibayar sejak 1974 dan yang dibayar hanya RM26.7 juta yang merupakan jumlah yang harus dibayar pada 1973. Artikel 112D juga memperuntukkan bahawa review mandatori harus diadakan setiap lima (5) tahun tetapi ianya tidak diadakan sejak 1973.

Memandangkan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk membayarbalik 40% Hasil Bersih tersebut, apakah tindakan dan bilakah tindakan akan diambil untuk menuntut pembayaran balik 40% Hasil Bersih tersebut mengikut Perlembagaan Persekutuan?

Tuan Speaker,
Artikel 112C dan Bahagian V Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Sabah berhak menerima cukai impot dan eksais keatas bahan petroleum. Jumlah RM120 juta telah dipersetujui pada tahun 2007 dibayar kepada Sabah. Akan tetapi jumlah yang seharus hak Sabah menerima adalah lebih kurang RM1.0 bilion tetapi jumlah RM120 juta tersebut belum lagi direview untuk dinaikkan mengikut peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan kegagalan mengadakan review cukai impot dan eksais tersebut telah mengakibatkan kerugian besar kepada Sabah, apakah tindakan dan bilakah tindakan akan diambil untuk menuntut pembayaran balik cukai impot dan eksais yang sebenar tersebut mengikut Perlembagaan Persekutuan?

Tuan Speaker,
Artikel 112C dan Bahagian V Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa Sabah berhak menerima cukai ekspot keatas minyak dan gas yang diekspot dari Sabah bagi mengganti royalty minyak sehingga jumlah nilai ad valorem 10%. Akan tetapi satu sen pun tidak dibayar semenjak 1976. Anggaran cukai ekspot ini yang harus dibayar kepada Sabah adalah lebih kurang RM3.0 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun.

Oleh yang demikian, apakah tindakan dan bilakah tindakan akan diambil untuk menuntut pembayaran balik cukai ekspot tersebut mengganti royalti minyak tersebut mengikut Perlembagaan Persekutuan?

Tuan Speaker,
Adalah satu lagi sumber hasil yang besar yang Sabah berhak menerima. Sebelum GST dilaksanakan pada 1hb April 2015, Sabah berhak dan telah menerima segalah kutipan SST yang dipungut di Sabah. Tetapi bila SST dimansuhkan dan diganti dengan GST, Kerajaan Persekutuan telah memungut segala kutipan GST dari Sabah dan ianya tidak dikembalikan kepada Sabah.

Seharusnya GST yang menggantikan SST harus dibayarbalik kepada Sabah. Saya difahamkan bahawa kutipan GST di Sabah adalah lebih kurang RM2.2 bilion setahun…

Memandangkan Sabah berhak menerima GST tersebut, apakah tindakan dan bilakah tindakan akan diambil untuk menuntut pembayaran balik GST tersebut sejak 1hb April 2015?

Tuan Speaker,
Dengan izin, sebelum saya berakhir, saya ingin menggesa YAB Ketua Menteri dan Kabinetnya yang sediada dan yang masih dipertikaikan, sekiranya mereka tidak diistiharkan haram oleh Mahkamah atau sekiranya Mahkamah masih belum membuat sebarang keputusan, mengambil tindakan untuk memastikan 40% hasil bersih, cukai impot dan eksais dan 10% duti ekspot mengganti royalti tersebut serta GST dikembalikan oleh Kerajaan Persekutuan dan memasukkan hasil-hasil tersebut ke dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Dewan mulia pada hujung tahun ini.

Hasil-hasil tersebut akan memberi hasil tambahan berpuluh bilion ringgit kepada Kerajaan Sabah dimana ianya boleh digunapakai untuk dasar-dasar pragmatic untuk menggerakan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran untuk Sabah dan rakyat Sabah seperti yang dinyatakan dalam Ucapan Dasar TYT Yang DiPertua Negeri.

Dengan itu, saya mohon menyokong.
Sekian, terima kasih.

Datuk Dr. Jeffrey Kitingan
ADUN N.32 Tambunan
4hb. Julai 2018

5 Comments