Peguam Musa jawab 'saman orang gila' RM400 juta sebagai writ cacat
12:07 Jul 07, 2018  |  By SabahKini2
 Peguam Musa jawab 'saman orang gila' RM400 juta sebagai writ cacat

Writ dua halaman itu yang kononnya mahu menuntut kira-kira RM400 juta daripada Tan Sri Musa tidak berasas. Siapakah pihak yang bertanggungjawab di belakang plaintif?

Writ saman yang difailkan oleh Plaintif, Zulkifli Bin Kassim melalui mod litigasi tanpa peguam terhadap Tan Sri Musa Aman pada dasarnya adalah cacat, menjengkelkan, sembrono dan bersifat skandal, kata Tengku Fuad Tengku Ahmad dari Tetuan F.T. Ahmad & Co, peguam bagi pihak Tan Sri Musa Aman.

“Writ saman yang mengandungi dua muka surat itu kononnya difailkan untuk menuntut RM400 juta dari Tan Sri Musa Aman tetapi amat ketara bahawa writ saman tersebut berunsur politik dan sebenarnya mempunyai tujuan untuk memalukan dan menyinggung rasa susila terhadap klien saya. Walhal writ saman itu sebenarnya tidak munasabah dan tidak masuk akal”, kata Tengku Fuad.

Tengku Fuad juga mempersoalkan prosedur penyampaian saman oleh Plaintif yang mana Plaintif telah menggunakan kaedah penyampaian ganti melalui akhbar. “Kota Kinabalu adalah sebuah bandar kecil dan hampir semua pihak tahu bahawa firma saya bertindak untuk Tan Sri Musa Aman. Oleh itu, saya tertanya-tanya mengapa Plaintif memilih untuk menyiarkan writ saman tersebut didalam surat khabar menggunakan kaedah penyampaian ganti? Adakah writ saman tersebut difailkan dengan tujuan untuk memalukan klien saya? Melalui pemerhatian saya, writ saman itu sepertinya dideraf oleh peguam. Tambahan pula, writ saman tersebut mengandungi tuntutan yang tidak masuk akal. Satu lagi persoalan, siapakah yang berselindung dibelakang Plaintif?”, soal Tengku Fuad.

Tengku Fuad juga menegaskan bahawa prosedur Mahkamah perlu dihormati dan tidak sepatutnya disalah gunakan untuk menganiaya seseorang dan dalam kes ini, Plaintiff telah mengemukakan writ saman terhadap Tan Sri Musa Aman melalui penyampaian ganti dalam surat khabar. “Dalam apa jua keadaan, kami akan bertindak balas seperti yang dikehendaki dan diarahkan oleh klien kami kerana kami menghormati proses Mahkamah walaupun kelihatannya proses tersebut telah disalahgunakan oleh Plaintif” ulas beliau.

“Amat jelas dan sudah tentu klien kami menafikan dakwaan-dakwaan karut yang terkandung di dalam writ saman itu dan kami juga ingin menegaskan bahawa mana-mana pegawai Yayasan Sabah termasuk Tan Sri Musa Aman tidak pernah terlibat dalam sebarang pecah amanah, apalagi yang melibatkan RM400 juta”, kata Tengku Fuad lagi.

“Dengan ini, kami menolak tuduhan tidak benar dari Zukifli dan kami diarahkan oleh klien untuk mengendalikan kes ini secara telus”, kata Tengku Fuad dalam mengakhiri wawancara beliau.

6hb Julai 2018

Tengku Fuad Tengku Ahmad

Tetuan F.T. Ahmad & Co

2 Comments