Desakan itu disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang memberitahu bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Norhartaty Rahmat sebelum ini telah direman pada 6 Oktober tahun lalu kerana disyaki terlibat melakukan penyelewengan dana awam sebanyak RM1.5 bilion.

Beliau mendakwa, penye­le­wengan dana membabitkan projek pembangunan luar bandar di Sabah itu berlaku ketika kementerian tersebut diterajui oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull wajib mendedahkan. Persoalannya betulkah dalam akaunnya ada RM29 juta? Bagaimana pegawai Gred 54 ada RM29 juta dalam akaunnya?

“Kalau benar, tidak­kah itu pelik? Dari mana sumbernya. Ke­napa tidak disiasat menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembia­yaan Keganasan 2001 (AMLA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, sekiranya benar kes itu telah ditutup, maka kredibiliti kerajaan Malaysia baharu akan tercalar kerana sebagaimana dilaporkan, Norhartaty sanggup menjadi saksi jika Mohd. Shafie didakwa.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada benar ko­nonnya Norhartaty tidak didakwa demi menyelamatkan Mohd. Shafie.

“Kalau benar SPRM di bawah Malaysia baharu tegas membanteras rasuah, maka tolong tampil sebagai `anak jantan’ dan buat penjelasan apa jadi kepada kes tersebut,” jelasnya.

Mohd. Shafie selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu telah dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah dan merupakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menyokong pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).