KJ tak datang mesyuarat, dia tak tahu – Annuar Musa
03:07 Jul 17, 2018  |  By SabahKini2
KJ tak datang mesyuarat, dia tak tahu – Annuar Musa

Malam tadi orang PAS pun datang…setiausaha agung PAS (Datuk Takiyuddin Hassan) datang…mungkin dia (Khairy) nak tengok bola, kan dia peminat bola

PARLIMEN : Tiada tindakan akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang kekal berada di dalam Dewan Rakyat ketika ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain bertindak keluar Dewan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, beliau tidak menyalahkan Khairy untuk bertindak sedemikian kerana bekas ketua pemuda UMNO itu tidak hadir dalam mesyuarat pre-council yang turut dihadiri pemimpin PAS, malam semalam.

“Saya belum sampai peringkat nak salahkan Khairy…malam tadi mesyuarat pre-council pun dia tak datang, kita keluar apabila tidak dibenarkan bercakap di dalam Dewan, kita tidak mahu jadi wakil rakyat bisu.

“Malam tadi orang PAS pun datang…setiausaha agung PAS (Datuk Takiyuddin Hassan) datang…mungkin dia (Khairy) nak tengok bola, kan dia peminat bola,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat UMNO di PWTC, Isnin.

Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ hari ini mencuri tumpuan kerana tidak bersama-sama ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS yang bertindak meninggalkan sidang Dewan Rakyat sebagai membantah proses lantikan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusuf.

Beliau kekal di kerusinya walaupun majoriti ahli Parlimen lain meninggalkan sidang.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh menjelaskan ahli Parlimen pembangkang tidak memboikot persidangan pagi tadi.

Sebaliknya ujar beliau, tindakan tersebut diambil bagi menyatakan bantahan mereka terhadap proses pencalonan Mohamad Ariff sebagai Speaker yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita minta sedikit penjelasan, kita tak rancang nak bahas, kita nak tahu…kita setuju nak sokong Mohamad Ariff jadi speaker tapi pelantikanya mesti ikut peraturan, kita bukan boikot sidang,” katanya.

Tambah beliau, pihak kerajaan tidak mematuhi peraturan mesyuarat 4(1) yang menetapkan 14 hari sebagai tempoh makluman yang diperlukan dalam proses pelantikan speaker.

“Bekas speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sendiri beritahu saya minggu lepas beliau bertanya kepada setiausaha Parlimen, dan dia kata nama belum dapat diputuskan, ini selari dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan menteri,” katanya.

“Sampai semalam mereka tak namakan speaker. Pelantikan speaker tidak boleh jadi rahsia. Notis 14 hari kena diberikan. Mana mungkin notis diberikan 2 haribulan kalau 7 dan 8 haribulan masih belum diputuskan,” katanya. 

bnpportal.com

Comment