Ketuanya, Abdul Karim Abdul Wahid berkata, dakwaan tersebut tidak wujud, sebaliknya hanya seorang ahli jawatankuasa bahagian itu yang bertindak meninggalkan parti iaitu Mohammad Abdurrahman.

“Dakwaan itu tidak benar tetapi memang betul Mohammad telah keluar parti yang difahamkan atas sebab peribadi.

“Justeru, kenyataan ADUN Sebatik bahawa tujuh ahli jawatankuasa baharu dan 2,000 ahli UMNO bahagian Kalabakan meninggalkan parti adalah tidak berasas kerana jumlah yang keluar tidak seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Kalabakan, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, hakikat yang sebenar adalah Warisan kini sedang giat memujuk ahli-ahli UMNO untuk menyertai mereka, namun langkah itu tidak akan berjaya.

“Mereka telah menjemput beberapa ahli untuk makan di sebuah restoran semalam dan menyerahkan borang keahlian Warisan tetapi ditolak,” katanya. - UTUSAN ONLINE