KFC Semporna 'Kotor' diarah tutup tiga hari
13:07 Jul 23, 2018  |  By SabahKini2
KFC Semporna 'Kotor' diarah tutup tiga hari

Amat jarang sekali kita melihat KFC diberi notis tutup. Tetapi KFC Semporna kerana kotor dan tercemar diarah tutup sebelum dibenarkan beroperasi semula.

SEMPORNA: Tular mengenai notis penutup KFC di Semporna, Pegawai Kesihatan Semporna, Dr. Shameer Khan Sulaiman mengesahkan notis perintah tutup restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) Semporna selama tiga hari dilakukan mengikut prosuder ditetapkan.
 

Menurutnya, tindakan itu dilakukan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (CDC ACT 1988) yang mengarahkan restoran makanan segera itu diarah tutup bermula 20 Julai pada jam 11 pagi.

Katanya, notis perintah tutup restoran KFC Semporna itu dilakukan ekoran hasil siasatan beberapa kes keracunan makanan yang dilapor di daerah ini dan juga pemeriksaan berkala Jabatan Kesihatan.

“Saya ingin menjelaskan tindakan penutupan itu diambil kerana isu kesihatan tertentu yang berkaitan dengan pencemaran silang dan juga kegagalan infrastruktur kecil,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, sepanjang tempoh notis berkenaan pihak pengurusan KFC Semporna telah memberi kerjasama yang sangat baik dan melaksanakan tindakan pemulihan untuk memperbaiki isu yang berbangkit.

“Sehingga hari Ahad pada jam 11 pagi Pejabat Kesihatan Daerah Semporna telah mengadakan lawatan kali ketiga dan memberi kelulusan bahawa KFC Semporna selamat untuk dibuka kepada umum,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata pihaknya telah menjelaskan kepada pihak pengurusan KFC mengenai isu yang berlaku.

Ditanya sama ada tindakan notis itu diambil ekoran penularan wabak penyakit berkaitan, Shameer menjelaskan kejadian itu juga sebagai tindakan kepada siasatan kes keracunan makanan yang dilapor di daerah ini.

Beliau dalam pada itu mengingatkan kepada semua pihak yang menjalankan perniagaan sama agar sentiasa memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan berada di tahap terbaik.

Pejabat Kesihatan Daerah Semporna katanya tidak akan berkompromi mengenai isu kebersihan dan keselamatan makanan ekoran melibatkan kesihatan masyarakat.
Dalam masa sama, katanya, perkara itu perlu ekoran daerah Semporna adalah tempat pelancongan yang menarik ramai pelancong sepanjang tahun.

 Untuk rekod bandar Semporna sering digelar sebagai bandar kotor di kalangan pelancong di negeri ini.

 

21 Comments