Banyak kekangan, royalti minyak 20 peratus tidak boleh dilaksana- Azmin
10:07 Jul 25, 2018  |  By SabahKini2
Banyak kekangan, royalti minyak 20 peratus tidak boleh dilaksana- Azmin

Jika Petronas dikehendaki tambah royalti kepada 20% daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri pengeluar minyak, ia akan beri implikasi serius terhadap kewangan Petronas dan kerajaan persekutuan

KUALA LUMPUR: Kerajaan pusat tidak dapat menyalurkan 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak dengan segera kerana perlu menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

“Cadangan ini tak dapat dilaksanakan segera kerana bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 disebabkan pengiraan berdasarkan ‘gross profit’ dan bukan ‘net profit’.

“Oleh itu, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20% hendak dilaksanakan, ia akan mengambil masa kerana perlu ada pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Jika Petronas dikehendaki tambah royalti kepada 20% daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri pengeluar minyak, ia akan beri implikasi serius terhadap kewangan Petronas dan kerajaan persekutuan.”

Azmin (PH-Gombak) berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) bilakah kerajaan pusat akan melaksanakan pemberian 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak.

Azmin berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963.

“Jawatankuasa ini akan mengkaji dan mencadangkan langkah pembetulan, termasuk hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semula jadi negara, minyak dan gas.

“Namun, manifesto Pakatan Harapan (PH) tak letak jangka masa spesifik untuk melaksanakan usaha ini kerana pelaksanaannya tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat semasa yang perlu dipatuhi.”

Katanya, pemberian royalti minyak 20% itu hanya berdasarkan keuntungan diperolehi Petronas.

“Cadangan tambah royalti petroleum kepada 20% ini adalah berdasarkan keuntungan Petronas selepas cukai dan bukan jumlah hasil pengeluaran kasar,royalti 5% sebelum ini.

“PH telah buat analisa struktur kos pengeluaran petroleum oleh Petronas. Ya kami mengaku Analisa ketika itu dibuat dalam keadaan kekangan data tidak mencukupi untuk melihat sama ada peratusan jumlah royalti petroleum bagi negeri pengeluar petroleum boleh ditingkatkan kepada 20%.” 

 

39 Comments