Royalti minyak: Apa pendirian PH Sarawak, jangan jadi pengkhianat- Fadillah
08:07 Jul 27, 2018  |  By SabahKini2
Royalti minyak: Apa pendirian PH Sarawak, jangan jadi pengkhianat- Fadillah

Jika Chong sudah berubah pendirian, bermakna beliau telah ‘mengkhianati’ janji dan harapan rakyat Sarawak

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendesak Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang diketui Chong Chieng Jen menyatakan pendirian berhubung pemberian 20% royalti minyak yang jelas bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya akan menganggap Chong “pengkhianat” jika ahli parlimen Stampin itu berubah pendirian menyokong keputusan perdana menteri.

“Jika Chong sudah berubah pendirian, bermakna beliau telah ‘mengkhianati’ janji dan harapan rakyat Sarawak serta perjuangan Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) untuk menuntut royalti 20% daripada pengeluaran hasil minyak dan gas.

“Apa yang jelas harapan rakyat Sarawak kepada kerajaan PH adalah untuk menunaikan janji dalam manifesto untuk memberikan royalti 20% berasaskan hasil pengeluaran dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Chong sebelum ini berkata PH Sarawak menawarkan 20% royalti daripada hasil pengeluaran minyak yang jelas bertentangan dengan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Azmin Ali yang berkata bayaran itu berdasarkan keuntungan.

Fadillah juga menuntut penjelasan daripada Chong berhubung pendirian beliau mengenai perkara ini, sama ada beliau berubah atau konsisten mahukan 20% royalti minyak daripada pengeluaran.

Fadillah berkata, Sarawak mempunyai pendirian cukup jelas di mana 20% itu dibayar hasil daripada jumlah pengeluaran.

“Kerajaan Sarawak sejak Tok Nan mengambil alih tampuk kepimpinan, konsisten berjuang menuntut 20% royalti hasil daripada jumlah pengeluaran berbanding 5% ketika ini,” katanya.

Sebelum ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata kerajaan pusat tidak dapat menyalurkan 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak dengan segera kerana perlu menunggu pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Katanya, cadangan menambah pemberian royalti minyak daripada 5% kepada 20% itu dibuat berdasarkan pengiraan keuntungan bersih Petronas, bukannya jumlah hasil pengeluaran kasar yang bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata pembayaran royalti 20% kepada negeri-negeri akan dikira berdasarkan keuntungan daripada hasil yang diperoleh di negeri berkenaan.

“Royalti adalah keuntungan. Ia bergantung kepada keuntungan Petronas di kawasan itu. Apa yang kita dapat dari Terengganu tidak akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.- FMT

Comment