UMNO Sabah kekal dan sertai blok pembangkang PGBS
20:08 Aug 14, 2018  |  By SabahKini2
UMNO Sabah kekal dan sertai blok pembangkang PGBS

Formula baharu dibentuk itu akan diwakili ADUN UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

KOTA KINABALU 14 Ogos - UMNO Sabah mengesahkan menyertai blok pembangkang baharu di negeri ini iaitu Parti Gabungan Bersatu Sabah (PGBS) yang akan ditububkan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan Barisan Nasional (BN) negeri telah kehilangan parti komponennya selepas beberapa parti tempatan mengumumkan keluar daripada gabungan itu sebelum ini.

Katanya, tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang akan meninggalkan parti sebaliknya UMNO akan menyertai PGBS sebagai salah satu komponen di dalamnya.

“Soal BN dibubarkan tidak timbul, malah BN masih kekal sebagai suatu entiti tetapi di Sabah kita ada blok pembangkang yang baharu iaitu PGBS.

“Namun, UMNO masih lagi kekal dalam BN diperingkat pusat, tetapi di Sabah, BN sudah tidak ada, jadi UMNO akan sertai PGBS berdasarkan persetujuan semua pihak khususnya pemimpin dalam parti kompenan BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berhubung BN Sabah bakal dibubarkan selepas semua ADUN parti itu bersetuju menubuhkan blok pembangkang baharu iaitu PGBS.

Formula baharu yang dibentuk itu akan diwakili ADUN UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). - UTUSAN ONLINE

6 Comments