Saman Shafie ditolak bakal kehilangan jawatan Ketua Menteri
12:08 Aug 24, 2018  |  By SabahKini2
Saman Shafie ditolak bakal kehilangan jawatan Ketua Menteri

Musa Aman berjaya meneruskan saman bagi mencabar pelantikan Ketua Menteri, Shafie Apdal selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohanan dikemukakan Shafie.

KOTA KINABALU 24 Ogos - Tan Sri Musa Aman berjaya meneruskan saman bagi mencabar pelantikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohanan dikemukakan Mohd. Shafie untuk membatalkan saman berkenaan hari ini. 

Hakim Datuk Yew Jen Kie, membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah yang disampaikan oleh pihak plaintif.

"Setelah meneliti afidavit daripada pihak-pihak yang terbabit, mahkamah berpuas hati bahawa Plaintif telah mengutarakan persoalan mengenai undang-undang dan perlembagaan yang memerlukan pertimbangan yang sewajarnya sekaligus menjadikan ia tidak sesuai untuk dibatalkan.

Oleh itu, mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan pembatalan saman dengan kos."

Musa diwakili peguamnya, Tengku Fuad Tengku Ahmad, manakala Mohd Shafie diwakili oleh Datuk Douglas Lind. Pada Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Writ saman berkenaan difailkan menerusi firma guaman Messr FT Ahmad & Co yang mewakili Musa, menggantikan saman difailkan pada 17 Mei lalu yang dibatalkan.

Saman berkenaan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Musa, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukan undang-undang.

Pada masa yang sama, saman itu juga bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 Mei lalu adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.

75 Comments