Musa Aman angkat sumpah dalam masa terdekat
17:08 Aug 25, 2018  |  By SabahKini2
Musa Aman angkat sumpah dalam masa terdekat

Reman ditolak. Perjalanan beliau (keluar negara) melalui proses dan saluran betul turut dibentangkan dalam hujah, termasuk membuat salinan dokumen untuk makluman kepada Majistret,

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dalam tempoh masa terdekat.

Pegawai khas beliau, Awang Faisal memaklumkan Musa akan mengangkat sumpah sebaik keadaan kesihatannya mengizinkan.

“Tan Sri Musa sudah kembali dan berhasrat untuk mengangkat sumpah (sebagai ADUN) seperti termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah dalam tempoh masa terdekat sebaik keadaan kesihatannya mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Awang Faisal memaklumkan permohonan reman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman ditolak oleh majistret, Norshahirah Abdul Salim.

Menurutnya, sepanjang dua jam prosiding permohonan itu, kedua-dua pihak memberikan hujah dan mengemukakan pelbagai dokumen sebelum Majistret membuat keputusan menolak permohonan reman berkenaan.

Katanya, pihak peguam Musa berhujah bahawa permohonan reman tidak sepatutnya diberikan dengan mudah memandangkan ia membabitkan proses kehakiman yang memerlukan Majistret untuk mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk keperluan berkanun dan undang-undang dipenuhi.

“Pihak peguam menegaskan sepanjang tempoh itu (Musa ke luar negara), Tan Sri Musa sentiasa memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai lokasi beliau berada dan memberi kerjasama sepenuhnya ketika mendapatkan rawatan di United Kingdom.

“Perjalanan beliau (keluar negara) melalui proses dan saluran betul turut dibentangkan dalam hujah, termasuk membuat salinan dokumen untuk makluman kepada Majistret,” katanya.

Awang Faisal berkata, bukti itu adalah jelas kerana Musa tidak meninggalkan negara secara haram kerana tiada keperluan untuk beliau berbuat demikian.

“Tuduhan dibuat terhadap Tan Sri (Musa) yang menyatakan beliau meninggalkan negara secara haram, menjadi pelarian dan melarikan diri jelas menunjukkan kurangnya pengetahuan dan pendidikan pihak yang membuat tuduhan itu,” katanya.

Beliau berkata, Musa memberikan sepenuhnya kepercayaannya terhadap Jabatan Kehakiman, PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Pihak berkuasa ini adalah insitusi dan organisasi yang dihormati. Pihak terbabit perlu diberi kepercayaan menjalankan tugas mereka secara bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu, kerajaan tempatan mahupun luar.

“Kesucian pihak terbabit perlu dipelihara,” katanya. - BH online

2 Comments