Dr M kata ‘ok’, kamu sibuk kenapa, Anwar 'hantam' Geng Kartel Azmin
19:09 Sep 13, 2018  |  By SabahKini2
Dr M kata ‘ok’,  kamu sibuk kenapa, Anwar 'hantam' Geng Kartel Azmin

Anwar diumumkan akan bertanding di Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, bagi membuka laluan kepadanya untuk kembali ke Parlimen.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan untuk bertanding pilihan raya kecil Port Dickson dan jika menang kembali ke Parlimen dengan berkata langkah itu disetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepada Dr Mahathir terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat.

“2 hari lalu selepas balik dari Hong Kong saya telefon dan saya kata Insya Allah saya ambil kawasan Port Dickson setelah Datuk Danyal Balagopal Abdullah (penyandang) letak jawatan.

“Dia kata ‘OK’. Yang kamu (pengkritik) sibuk kenapa? Tak jadi masalah. Nak bangkitkan apa lagi?” katanya semasa berucap di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka malam tadi.

Semalam, Anwar diumumkan akan bertanding di Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, bagi membuka laluan kepada untuk kembali ke Parlimen.

Pakatan Harapan dilaporkan mempunyai persefahaman iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Langkah itu bagaimanapun mengundang kritikan termasuk daripada pimpinan PKR sendiri.

 

Semalam, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mahu Anwar menyatakan pendirian dan menuduh beberapa pemimpin PKR dangkal kerana tidak mengikut saluran betul dalam keputusan mengosongkan kerusi Port Dickson.

Sementara itu, Anwar berkata tidak perlu menangguhkan pemilihan parti yang dijadual berlangsung dari 22 September hingga 28 Oktober untuk PRK Port Dickson seperti yang dicadangkan Naib Presiden Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Saya kata tak payah tangguh sebab dua-dua penting dan lepas pemilihan parti kita tumpu PRK Port Dickson,” katanya.

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti Datuk Rashid Din berkata pemilihan PKR tidak boleh ditangguh kerana akan menyalahi peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Rashid berkata JPPM menetapkan perhimpunan agung PKR perlu diadakan November ini.- FMT

1 Comment