Petisyen: DUN Sungai Sibuga, parlimen Libaran kekal milik BN
18:09 Sep 18, 2018  |  By SabahKini2
Petisyen: DUN Sungai Sibuga, parlimen Libaran kekal milik BN

Hakim Azhahari Kamal Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti semua afidavit dan hujahan bertulis yang difailkan kedua-dua pihak.

SANDAKAN, 18 Sept -  Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga dan Parlimen Libaran kekal milik Barisan Nasional (BN) selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen calon Parti Warisan Sabah (Warisan).

Hakim  Azhahari Kamal Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti semua afidavit dan hujahan bertulis yang difailkan kedua-dua pihak. 

Petisyen terhadap kerusi DUN Sungai Sibuga difailkan oleh Asmara Abdul Rahman yang juga calon Warisan bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Asmara menamakan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga sebagai responden pertama, Pegawai Pilihan Raya DUN Sungai Sibuga dan Suruhjanya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua dan ketiga. 

Sementara petisyen bagi kerusi Parlimen Libaran difailkan oleh Irwanshah Mustapa, calon Warisan bagi kerusi itu dengan menamakan penyandang kerusi itu Zakaria Mohd Edris sebagai responden pertama, Pegawai Pilihan Raya Parlimen Libaran dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

Asmara dan Irwanshah menerusi petisyen difailkan pada 18 Jun lepas memohon keputusan SPR yang mengisytiharkan Musa dan Zakaria sebagai pemenang pada PRU14 masing-masing di kerusi DUN Sungai Sibuga dan Parlimen Libaran dibatalkan kerana disyaki menggunakan rasuah sebelum dan semasa pilihan raya.

Hakim Azhahari berkata, selepas mempertimbangkan permohonan itu, mahkamah berpendapat bahawa beberapa peraturan tidak dipatuhi antara lain bahawa pihak pempetisyen hanya meninggalkan dua salinan petisyen sedangkan Peraturan 3(1) dan (3) menunjukkan pemohon mesti meninggalkan tiga salinan. 

Katanya, ia juga menunjukkan pemohon gagal mematuhi Seksyen 38(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengkehendaki petisyen atas alasan amalan rasuah dan secara khusus menuntut pembayaran wang boleh difailkan dalam masa 28 hari daripada tarikh pembayaran. 

Hakim mengarahkan pemohon membayar kos RM30,000 kepada responden pertama dan RM10,000 masing-masing kepada responden kedua dan ketiga. 

Musa diwakili barisan peguam Jeyan Marimuttu, Rizwandean M Borhan, Mohd Reduan Aklee dan Mohd Azhier Farhan Arisin, manakala Zakaria diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar.

Asmara dan Irwanshah diwakili peguam Majnah Abdillah dan peguam Zaleha Mohd Yusuf Pan.

-- BERNAMA

 

3 Comments