Esscom tembak mati dua ejen culik guna bot pam
00:09 Sep 22, 2018  |  By SabahKini2
Esscom tembak mati dua ejen culik guna bot pam

Kedua-duanya pendatang tanpa izin berumur lingkungan 50-an, ditembak mati ketika cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah bot pam dalam serbuan pasukan keselamatan.

KUNAK: Pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menembak mati dua lelaki dipercayai ejen jenayah penculikan untuk wang tebusan (KFR) dalam kejadian berdekatan perairan Pulau Boheyan dekat sini malam tadi.

Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata kedua-duanya yang disyaki pendatang tanpa izin berumur lingkungan 50-an, ditembak mati ketika cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah bot pam dalam serbuan pasukan keselamatan di Kampung Air Kunak Tiga pada kira-kira 10.30 malam.

"Semasa Operasi Gasak Khas Esscom dijalankan, bot dinaiki suspek cuba meloloskan diri namun pasukan diketuai ACP Mohd Nasaruddin M Nasir bertindak mengejar bot suspek kira-kira 30 minit dan berlaku berbalas tembakan

"Mula-mula lampu biru bot polis dinyalakan sebagai memberi amaran kepada suspek supaya berhenti tetapi suspek melepaskan tembakan ke arah bot pasukan polis dan polis membalas tembakan sebelum memintas bot suspek di Pulau Boheyan dan menembak ke arah suspek," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hazani berkata pemeriksaan ke atas bot itu menemukan dua lelaki terbaring dengan kesan tembakan pada badan.



"Polis turut menemui sepucuk pistol jenis revolver .22, tujuh butir peluru hidup jenis .22, satu pucuk pistol jenis revolver .38, satu butir peluru hidup dan lima kelongsong .38 serta sebilah pedang samurai," katanya.

Hazani berkata dalam operasi itu pihaknya turut merampas sebuah bot pam berwarna putih di Kampung Air Kunak Tiga yang disyaki terbabit dalam penculikan dua nelayan Indonesia pada 11 Sept lalu di Pulau Gaya, Semporna.

"Siasatan lanjut ke atas bot tertera nama Ainigel dikenal pasti terlibat dalam kes penculikan terbaharu berdasarkan deskripsi mangsa yang selamat.

"Bot ini dipercayai terlibat membuat tinjauan awal di kawasan laut Kunak dan Semporna sebelum berlaku penculikan nelayan dari Kapal Dwijaya," katanya.

Menurutnya seramai 18 individu ditahan serta 16 bot pam dirampas dalam serbuan yang dilaksanakan bersama Polis Kontinjen Sabah itu.

Dalam pada itu, Hazani bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri supaya semua bot pam didaftarkan dan diberi warna mengikut zon bagi memudahkan pihak keselamatan mengenal pasti asal bot pam terbabit semasa pemeriksaan keselamatan.

"Misalnya kita tahu bot kuning untuk Kunak, biru untuk Kudat dan ada nombor tertentu pasukan keselamatan, Jabatan Laut dan Pelabuhan Dermaga," katanya menambah langkah itu akan memudahkan pasukan keselamatan mengenal pasti bot pam dari negara jiran.

Pengharaman bot pam di ESSZONE dilaksanakan kerajaan terdahulu untuk meningkatkan keselamatan di perairan ESSZONE dan sebagai langkah mencegah jenayah rentas sempadan termasuk penculikan.


-- BERNAMA

2 Comments