Anifah akan bentuk parti baharu di Sabah
12:09 Sep 22, 2018  |  By SabahKini2
Anifah akan bentuk parti baharu di Sabah

Sama ada berada di dalam Umno atau di luar, Anifah tidak pernah lari dari fokus untuk menuntut hak rakyat Sabah dalam MA63 sejak dari dahulu lagi

DATO' SRI ANIFAH Aman yang keluar Umno Rabu lalu akan menubuhkan sebuah parti politik di Sabah dan seterusnya membentuk gabungan baharu pembangkang negeri, kata sumber, selepas Umno hilang kuasa buat pertama kalinya di negeri itu sejak 1994.

Sumber berkata, parti itu akan memberi perhatian khusus kepada perjuangan rakyat Sabah menuntut hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang juga diperjuangkan oleh Anifah selama ini.

“Anifah dijangka akan bentuk sebuah parti baharu dalam masa terdekat. Mungkin pada peringkat permulaan, beliau akan menarik Adun-Adun Umno dan BN di Sabah untuk masuk parti itu.

“Yang penting kita perlu menguatkan pembangkang untuk menuntut hak rakyat Sabah. Parti-parti lain akan bersama dalam gerakan ini.

“Sama ada berada di dalam Umno atau di luar, Anifah tidak pernah lari dari fokus untuk menuntut hak rakyat Sabah dalam MA63 sejak dari dahulu lagi,” kata sumber yang maklum mengenai langkah politik bekas menteri luar itu.

Anifah sebelum ini diketahui secara terbuka terlibat dalam perbincangan bersama parti-parti pembangkang di Sabah mengenai isu hak negeri dan MA63, semasa beliau ketika itu menteri kabinet di Putrajaya.

Umno Sabah, yang kini mempunyai 10 kerusi di Dewan Undangan Negeri, minggu lalu setuju untuk membentuk gabungan pembangkang baharu dengan parti tempatan termasuk bersama Parti Solidariti Tanah Airku pimpinan ketua pembangkang Jeffrey Kitingan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor bagaimanapun berkata setakat ini Umno Sabah masih kekal dalam Barisan Nasional.

Gabungan baru pembangkang di Sabah itu diatur menyamai langkah politik bekas komponen BN di Sarawak yang meninggalkan perikatan itu membentuk Gabungan Parti Sarawak pada Jun lalu.

Anifah membuat langkah politik ini ketika Putrajaya menunjukkan sikap berbeza terhadap Sabah dan Sarawak, mahu mengembalikan statusnya sebagai rakan sekutu yang setara dalam Malaysia.

Dalam ucapannya pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata langkah itu akan dibuat selepas kajian terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selesai. 

Kerajaan Sabah kini diterajui Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah, yang dibentuk lebih kurang setahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan berkempen dengan agenda mengembalikan hak Sabah dalam Malaysia.

Anifah adalah pemimpin kedua Umno, yang juga bekas menteri kabinet Najib Razak yang kedua, yang keluar parti minggu ini – kurang 24 jam selepas Mustapa Mohamed meninggalkan Umno kerana tidak secocok lagi dengan hala tuju parti itu selepas PRU14.

Rabu lalu, Anifah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, ketua Umno Bahagian Kimanis dan ahli Umno berkuatkuasa serta-merta kepada Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Anifah pernah dua kali mengancam mahu meninggalkan Umno, kali pertama selepas PRU 2008 kerana tidak puas hati ahli Parlimen Sabah tidak diberi jawatan menteri kabinet oleh bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi walaupun negeri itu menyumbang kepada kemenangan besar BN.

Beliau sekali lagi mengancam keluar Umno pada Mac lalu untuk menekan bekas perdana menteri Najib Razak mengembalikan hak istimewa Sabah mengikut MA63.

Beliau, yang kini jadi wakil rakyat bebas bagi kerusi Parlimen Kimanis, adalah juga bekas pengerusi bersama Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Penurunan Kuasa antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, yang dibentuk oleh pentadbiran Najib sebelum PRU14. – TMI

 

16 Comments