Harapan Rakyat mohon menyertai PH
14:09 Sep 24, 2018  |  By SabahKini2
Harapan Rakyat mohon menyertai PH

Lajim berkata beliau telah bertemu dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (daripada parti-parti komponen itu masing-masing) untuk membincangkan perkara itu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Gobind Singh Deo, serta beberapa lagi yang lain

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) telah mengemukakan permohonan untuk menjadi salah sebuah parti komponen Pakatan Harapan.

Presidennya, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, permohonan itu telah dihantar kepada Pakatan Harapan peringkat Negeri dan juga Pusat.

Lajim berkata beliau telah bertemu dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (daripada parti-parti komponen itu masing-masing) untuk membincangkan perkara itu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Gobind Singh Deo, serta beberapa lagi yang lain.

"Permohonan telah dikemukakan kepada Tun Mahathir Mohamad pada 21 Mei lalu," kata Lajim kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Harapan Rakyat pada hari Sabtu.

Lajim berkata, partinya mengambil keputusan itu selepas mempertimbangkan hala tuju dan pendirian Pakatan Harapan dalam memperjuang hak rakyat Sabah sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), seperti yang diumumkan oleh Mahathir baru-baru ini.

"Harapan Rakyat yakin dengan keikhlasan kerajaan baru dalam memenuhi kepentingan dan keperluan rakyat Sabah," sambung Lajim lagi.

Lajim turut menyatakan kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.

Walau bagaimanapun, masih belum diketahui sama ada Pakatan Harapan akan menerima ataupun tidak penyertaan parti Lajim itu dengan rasminya.

Keputusan menerima atau menolak penyertaan ini memerlukan satu persetujuan daripada semua parti komponen Pakatan Harapan; iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah.

Lajim menyifatkan bahawa terdapat respon positif berdasarkan siri-siri pertemuan beliau dengan pemimpin Pakatan Harapan yang berlangsung setakat ini.

Lajim juga mendedahkan bahawa beliau telah pun menyertai kempen untuk Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil baru-baru ini di Sungai Kandis dan Seri Setia, sebagai usaha untuk menunjukkan sokongannya terhadap pakatan itu.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Presiden Harapan Rakyat, Datuk Maijol Mahap.

5 Comments