Datin Seri Rosmah ditahan SPRM, didakwa esok
12:10 Oct 03, 2018  |  By SabahKini2
Datin Seri Rosmah ditahan SPRM, didakwa esok

Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ditahan jam 3.20 petang ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini.

Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 10.42 pagi tadi untuk memberi keterangan kali ketiga.

Difahamkan, Rosmah disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

SPRM, dalam satu kenyataan sebentar tadi, mengesahkan penahanan Rosmah berhubung siasatan pengubahan wang haram selepas SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Rosmah akan bermalam di SPRM hari ini sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pada jam 8 pagi untuk menghadapi pertuduhan terbabit.

Kronologi Rosmah dipanggil ke SPRM:

16 Mei - Polis menyerbu kediaman peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan merampas beberapa dokumen.

17 Mei - Polis menjalankan beberapa serbuan berkaitan 1MDB di dua premis di Putrajaya, empat di Kuala Lumpur dan tiga di Pavilion Residences yang dikatakan kediaman milik Najib dan turut merampas beberapa bagasi serta kotak dipercayai mengandungi barangan mewah serta wang tunai.

27 Jun 2018 - Polis mengumumkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan adalah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion membabitkan barang kemas, beg tangan, cermin mata dan jam tangan.

1 Jun 2018 - SPRM menyerahkan notis memerintah kehadiran kepada Rosmah pada 5 Jun bagi membantu siasatan berkaitan SRC International Sdn. Bhd.

5 Jun 2018 - Rosmah disoal siasat selama lima jam berhubung siasatan ke atas syarikat subsidiari 1MDB, SRC International Sdn. Bhd.

10 Julai 2018 - Syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading Sal memfailkan saman terhadap Rosmah dan menuntut 44 barang kemas dipulangkan semula atau membayar ganti rugi RM59.8 juta (AS$14.8 juta).

26 September 2018 - Rosmah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk diambil keterangannya bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank Najib, di mana dia disoal siasat hampir 13 jam.- BH Online

Comment