Menteri JPM sokong Azis Jamman guna Akta Hasutan tapi persoal adik Lokman didakwa
15:10 Oct 05, 2018  |  By SabahKini2
Menteri JPM  sokong Azis Jamman guna Akta Hasutan tapi persoal adik Lokman didakwa

Selepas Surendran menegur Azis Jamman, Menteri JPM VK Liew juga hairan mengapa dakwa adik Lokman. Namun VK Liew menyokong Azis Jamman guna akta hasutan kerana belum mansuh.

KOTA KINABALU: Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Liew Vui Keong hari ini menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak mendakwa adik ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adan kerana menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Liew, yang merupakan menteri bertanggungjawab ke atas hal-ehwal undang-undang berkata, kes itu sepatutnya tidak dimajukan kerana Dr Mahathir tidak tersinggung dengan kenyataan yang ditujukan kepada beliau.

“Ia memperlihatkan betapa berjiwa besarnya perdana menteri kita. Sebagai ketua negara dan menteri kerajaan, kita terdedah kepada penghinaan dan kritikan orang ramai.

“Satu-satu peringatan dalam hal ini ialah kenyataan yang dibuat terhadap seseorang pemimpin politik hendaklah tidak bersifat memfitnah kerana undang-undang membenarkan tindakan diambil terhadap pihak yang memfitnah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Liew memberi respons terhadap penahanan Azman Noor Adam yang didakwa menyebarkan imej menghina Dr Mahathir di media sosial.

Perdana menteri sendiri menyuarakan rasa tidak bersetuju beliau terhadap tindakan yang diambil ke atas Azman.
“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana saya tidak fikir ia memberi apa-apa kesan kepada saya,” katanya.

Berhubung kenyataan Azis Jamman bahawa Akta Hasutan akan terus digunakan, Liew berkata timbalan menteri dalam negeri itu benar kerana undang-undang itu belum dimansuhkan.

Azis, yang merupakan Ahli Parlimen Sepanggar mewakili parti Warisan, sebelum itu menjelaskan komentarnya berhubung isu tersebut tidak bermakna beliau bersetuju untuk mengekalkan undang-undang berkenaan.

Pada ketika ini kata Liew, proses memansuhkan akta berkenaan berada di peringkat jawatankuasa kementerian berkaitan. Katanya satu kertas Kabinet akan dikemukakan untuk dipertimbangkan dalam masa terdekat.

“Terdapat peruntukan dalam akta sedia ada yang melindungi pemerintah, terutamanya Yang Dipertuan Agong, daripada semua bentuk hasutan.

“Oleh sebab Agong merupakan Raja berperlembagaan kita, maka kita perlu menghormati dan terus setia kepada baginda seperti terkandung dalam Rukun Negara,” kata beliau.

Comment