Shafie dan Abang Johari cuba senada MA63 tetapi TKM Sarawak kata “Malaya tipu”
04:10 Oct 12, 2018  |  By SabahKini2
Shafie dan Abang Johari cuba senada MA63 tetapi TKM Sarawak kata “Malaya tipu”

Mendapatkan semula hak dan kuasa seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah tuntutan Sabah dan Sarawak.Namun TKM Sarawak menyelar jawatankuasa khas Kabinet MA63

 

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal senada dalam perjuangan untuk mendapatkan semula hak dan kuasanya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara itu dinyatakan oleh kedua-dua pemimpin dalam sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Menteri Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah beberapa anggota Kabinet negeri Sabah dan Sarawak termasuk Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah, Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Kepentingan kita (Sabah dan Sarawak) adalah sama apabila kita menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu dan sudah tentu senada mahu supaya hak dan kuasa kita dikembalikan,” kata Mohd Shafie.

Beliau berkata sudah tiba masanya kedua-dua negeri bersepakat untuk membolehkan suara dan aspirasi rakyat kedua-dua negeri didengari dan menurutnya apa yang cuba diperjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dan negara keseluruhan.

“Saya rasakan sudah sampai masanya untuk (kerajaan pusat) menyedari bahawa adanya tuntutan dari Sabah dan Sarawak,  tidak bermakna kita tidak sayangkan Malaysia, kita sayangkan Malaysia tetapi harus juga disedari bahawa setiap yang sudah dipersetujui harus ditunaikan,” tegas beliau.

Menurut Mohd Shafie, kerajaan pusat juga perlu menyedari bahawa perubahan perlu dibuat terhadap tuntutan royalti minyak dengan mempertimbangkan tuntutan 20 peratus yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak.

“Kita bukan meminta 100 peratus, kita hanya minta 20 peratus kerana harus diingatkan bahawa 50 peratus keluaran minyak di negara ini adalah dari Sabah,” katanya.

Tan Sri James Masing Timbalan Ketua Menteri Sarawak

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing menyelar komposisi jawatankuasa khas Kabinet untuk meneliti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disifatkan sebagai ‘berat ke arah Malaya’.

Katanya sembilan daripada 16 ahli jawatankuasa itu dari Malaya (Semenanjung Malaysia) dan hanya tujuh dari Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata komposisi jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, perlu melibatkan lima daripada setiap tiga wilayah iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak, bagi mencerminkan kedudukan mereka sebagai rakan sekutu dalam persekutuan.

“Jumlah wakil yang adil jika kami mempunyai status sama rata.”

Tujuh wakil tersebut merupakan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg; Shafie Afdal; Menteri Kerja Raya Baru Bian (Sarawak); Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking (Sabah); Ketua Peguam Sabah Zaleha Rose Pandin; Ketua Peguam Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah.

Masing berkata walaupun perbincangan secara serius belum bermula, Sabah dan Sarawak ‘berasa tertipu dengan peranan mereka dalam rundingan MA63’.

“Mereka tidak memberi kelebihan kepada kita dari segi jumlah ahli.

“Mereka fikir mereka lebih bijak dengan memiliki lebih ramai ahli?”

Masing turut menuduh kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai kejujuran dalam memberi status sama rata dalam persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.

Malah beliau mencadangkan Sabah dan Sarawak agar memboikot jawatankuasa itu ekoran layanan yang tidak adil.

 

7 Comments