Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, itu hakikat yang berlaku sekarang yang jika diumumkan bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece.

“Parah ini (hutang) saya rasa akan berterusan untuk setahun dua yang akan datang, bila hutang yang sebenar pun terpaksa kita sembunyikan lagi.

“Yang diumumkan RM1.04 trilion itu hanyalah yang begitu nyata, tetapi ada lagi banyak lagi yang kalau diumumkan kesemua kita bimbang kita sudah menjadi negara seperti Greece. Ini hakikatnya yang berlaku di Malaysia sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam seminar bertajuk Gerakan Rakyat Memenangkan Pakatan Harapan di Mana Cendekiawan? anjuran Fakulti Sastera dan Sains Politik Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Sementara itu, sesi soal jawab seminar itu berlangsung tegang selepas seorang peserta tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan tentang pendirian berkecuali kerajaan untuk tidak berpihak kepada mana-mana negara besar.

Peserta dikenali sebagai Fahmi Faiz mendakwa, sejak kejatuhan Soviet, Amerika Syarikat (AS) membiayai gerakan pembangkang melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menumbangkan negara yang tidak mematuhinya, malah International Republican Institute juga mengakui pernah membia­yai dan memberikan bantuan teknikal kepada Pakatan Harapan (PH).

Justeru, dia mempertikaikan bagaimana kerajaan baharu Malaysia mahu bersikap berke­cuali bila gerakan menjatuhkan kerajaan terdahulu mendapat sokongan daripada negara kuasa dunia itu.

Hujah tanpa henti Fahmi memaksa moderator program yang juga penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali mencelah dan meleraikan ketegangan sebelum Fahmi bertindak meninggalkan seminar.

Mohamad kemudian secara spontan menjawab kepada persoalan tersebut: “Lihat pemerintahan kami, kalau kami menyeleweng jadi alat AS, gerakkan rakyat tumbangkan kami.”- UM