Sabah Sarawak bersatu bagi menuntut MA63
08:10 Oct 15, 2018  |  By SabahKini2
Sabah Sarawak bersatu bagi menuntut MA63

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Panglima Anifah Aman berkata semua pihak terutama pemimpin politik tidak kira apapun ideologi harus bersatu bagi menuntut MA63 demi manfaat rakyat Sabah dan Sarawak.

KIMANIS: Perjuangan menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan perjuangan peribadi semata-mata tetapi untuk kepentingan dan masa depan rakyat Sabah keseluruhannya.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Panglima Anifah Aman berkata semua pihak terutama pemimpin politik tidak kira apapun ideologi harus bersatu bagi menuntut MA63 demi manfaat rakyat Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, bukan sahaja rakyat Sabah dan Sarawak perlu bersatu menuntut MA63 tetapi juga pemimpin politik di kedua-dua negeri terlibat tidak kira wakil rakyat kerajaan atau pembangkang bagi memastikan sebarang usul yang akan dibawa ke parlimen nanti mendapat sokongan dua per tiga daripada dewan.

Tambah beliau, fokus utama untuk menuntut hak-hak Sabah dan Sarawak adalah dengan mengambil langkah drastik bermula sekarang dan bukan sebaliknya dengan mempersoalkan mengapa tidak bertindak sedemikian 55 tahun lepas.

“Maka itu kita bertindak sekarang dengan memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat tentang MA63 selain daripada memorandum serta beberapa forum yang diadakan sebelum ini. Jangan menyesal nanti kerana tidak mahu atau enggan mengambil tindakan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis santai dan ramah mesra serta program penjelasan yang diadakan di Kimanis Centro, petang Sabtu.

Turut hadir ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan peguam Ansari Abdullah yang turut bersama menjadi panel dalam penjelasan MA63 kepada orang ramai.

Selain itu, turut kelihatan Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria Edris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman dan bekas ADUN Bongawan Datuk Mohamad Alamin.

Dalam perkembangan lain, Anifah ketika ditanya sama ada beliau ada rancangan untuk menyertai mana-mana parti, beliau berkata untuk ketika ini beliau akan kekal bebas.

“Buat masa ini saya akan kekal bebas. Tidak terlintas lagi dalam fikiran setakat ini. Lebih baik bebas namun kalau ada keperluan mungkin saya akan lakukan sesuatu,” katanya- Utusan Borneo

Comment