Zahid hadapi 45 pertuduhan
12:10 Oct 19, 2018  |  By SabahKini2
Zahid hadapi 45 pertuduhan

10 tuduhan pecah amanah, 27 tuduhan pengubahan wang haram dan 8 tuduhan rasuah

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid menghadapi 10 tuduhan pecah amanah, 27 tuduhan pengubahan wang haram dan 8 tuduhan rasuah.

Zahid mengaku tidak bersalah atas 10 tuduhan pecah amanah wang milik Yayasan Akalbudi dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42 juta.

Zahid juga mengaku tidak bersalah atas 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta.

Zahid, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Mahkamah membenarkan anggota Parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah memerintahkan Zahid membayar jaminan sebanyak RM1 juta hari ini manakala bakinya sebelum atau pada 26 Okt dan menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, T. Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Zahid, bekas Timbalan Perdana Menteri itu diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Kitson Foong.

 

 

Comment