Junz Wong mahu APMM patuh arahannya pelupusan bot tahanan Vietnam
15:10 Oct 22, 2018  |  By SabahKini2
Junz Wong mahu APMM patuh arahannya pelupusan bot tahanan Vietnam

Bot-bot yang ditahan akan disita, disiasat dan didakwa di mahkamah. Jika didapati bersalah dan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia oleh mahkamah, Maritim Malaysia akan melupuskan bot-bot ini mengikut tatacara berpandukan Pekeliling Perbendaharaan

KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memandang serius dan kecewa dengan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong menerusi media masa berhubung proses pelupusan bot tahanan Vietnam.

APPM Wilayah Sabah dan Labuan dalam kenyataannya hari ini berkata, setakat ini tiada peraturan yang memerlukan  agensi itu melapor kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah untuk tindakan pelupusan bot yang dilucut hak.

"Bot-bot yang ditahan akan disita, disiasat dan didakwa di mahkamah. Jika didapati bersalah dan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia oleh mahkamah, Maritim Malaysia akan melupuskan bot-bot ini mengikut tatacara berpandukan Pekeliling Perbendaharaan – Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan AM 2.7 Pelupusan.

"Secara amnya, terdapat tujuh kaedah pelupusan yang telah digariskan. Setakat ini tiada peraturan yang memerlukan  agensi bagi melaporkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan tindakan pelupusan bot yang dilucut hak," katanya.

APMM berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong yang mendakwa APMM melupuskan dua bot nelayan Vietnam secara diam-diam.

Mengulas lanjut perkara itu, agensi berkenaan menjelaskan bahawa proses pelupusan dua bot nelayan Vietnam seperti yang dilaporkan adalah mematuhi pekeliling perbendaharaan iaitu dilupuskan dengan menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan.

Katanya bot nelayan asing yang dilucut hak adalah tidak dibenarkan sama sekali digunakan semula dan perlu dimusnahkan secara potong, tanam atau ditenggelamkan dan dua bot nelayan berkenaan telah dilupuskan dengan cara 'zero cost' oleh dua syarikat tempatan berpangkalan di Kudat yang dilantik APMM.

Katanya APMM di seluruh Malaysia telah menggunakan kaedah pelupusan berkenaan sejak sekian lama dan kerja pembersihan bot dan pelupusan yang dilaksanakan tidak melibatkan sebarang wang kerajaan sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat yang dilantik.

Menurut kenyataan itu, melalui pendekatan yang digunakan agensi itu, pihak APMM telah dapat menjimatkan sejumlah besar wang kerajaan yang perlu diperuntukkan untuk melaksanakan kerja-kerja pelupusan bot-bot tersebut.

"Agensi tidak menawarkan sebarang sebut harga bagi pelupusan ini kerana ia tidak melibatkan sebarang nilai kepada kerajaan. Agensi ingin menegaskan bahawa tidak timbul isu pelupusan bot dilakukan secara diam-diam dengan tiada proses sebut harga dilaksanakan seperti yang digembar-gemburkan di dalam media," kata kenyataan itu. 

Kenyataan itu juga menyebut bahawa proses penenggelaman bot berkenaan dilaksanakan di perairan Kudat setelah segala prosedur dipatuhi serta mendapat kelulusan daripada agensi dan jabatan kerajaan yang lain seperti Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

Menurut APMM proses penenggelamkan bot berkenaan dilaksanakan dengan disaksikan oleh pegawai yang dilantik daripada APMM sendiri dengan melengkapkan Sijil Pelupusan (KEW.PA-23) dan Sijil Penyaksian Pemusnahan (KEW.PA 22) bagi diserahkan kepada Ibu Pejabat untuk direkod dan dimaklumkan kepada Perbendaharaan.

Menurut sumber dalaman pejabat Junz Wong, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah itu mahu APMM menyerahkan pelupusan bot-bot itu kepada kerajaan negeri, malah sudah ada pihak bertemu Junz Wong agar diberi pelepasan kepada bot-bot itu.

Apakah kepentingan Junz Wong terhadap bot-bot nelayan itu? Jika sekadar mahu makluman tindakan APMM agensi itu boleh melaporkan sahaja berdasarkan peraturan sedia ada kepada Junz Wong dan tidak perlu menuduh APMM melaksana “secara diam-diam”.

Tinjuan dalam media sosial menunjukkan netizen mengecam Junz Wong Menteri Warisan itu mengapa mahu mencampuri urusan agensi Persekutuan seperti APMM.

"Junz Wong tidak perlu menjadi diktator, dia harus melaksanakan tugasnya, janjinya harga getah akan naik selepas memerintah sehingga kini belum ditunaikan lagi" kata pengguna facebook bernama Faisal.

 

 

 

18 Comments