Pesawat Lion Air terhempas, serpihan ditemui 188 dikhuatiri terbunuh
12:10 Oct 29, 2018  |  By SabahKini2
Pesawat Lion Air terhempas, serpihan ditemui 188 dikhuatiri terbunuh

Kami masih tidak tahu sama ada terdapat mangsa yang terselamat, kami berharap dan berdoa namun kami tidak boleh mengesahkannya,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhmmad Syagi.

JAKARTA-  Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan pesawat Lion Air terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara.

Ketua Bahagian Kerjasama dan Perhubungan Awam Perhubungan Udara Indonesia, Sindu Rahayu berkata pesawat yang membawa 181 penumpang dan tujuh anak kapal itu dilaporkan terhempas di koordinat 05 46.15 S - 107 07.16 E, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi tadi.

"Operasi mencari pesawat itu sedang dilakukan," katanya.

Pesawat JT610, penerbangan ke Pangkal Pinang di Pulau Bangka Belitung, Indonesia itu dilaporkan terputus hubungan selepas 10 minit berlepas.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Pangkal Pinang jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan sedang berusaha mendapatkan maklumat lengkap berkenaan senarai penumpang pesawat itu.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada rakyat Malaysia turut terbabit.

Seorang jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia berkata sebuah kapal tunda yang berlepas meninggalkan pelabuhan di ibu negara itu melihat ia terjunam.

"Adalah disahkan bahawa ia telah terhempas," kata Yusuf Latif, jurucakap agensi itu, melalui mesej teks ketika ditanya mengenai nasib pesawat Lion Air berkenaan. 

Serpihan pesawat itu ditemukan oleh kapal milik syarikat petroleum Indonesia, Pertamina Hulu Energi.

Antara barang-barang ditemukan termasuk jeket kesemalatan dan beberapa barang peribadi penumpang, seperti telefon bimbit.

Turut ditemukan adalah kerusi kapal terbang.

“Kami masih tidak tahu sama ada terdapat mangsa yang terselamat, kami berharap dan berdoa namun kami tidak boleh mengesahkannya,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhmmad Syagi.




Comment