Tiada rakyat Malaysia terbabit nahas Lion Air
07:10 Oct 31, 2018  |  By SabahKini2
Tiada rakyat Malaysia terbabit nahas Lion Air

Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas pesawat Lion Air JT-610

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas pesawat Lion Air JT-610 yang dilaporkan terhempas di perairan Karawang, utara Pulau Jawa, Indonesia, hari ini.

Berdasarkan kenyataan, Kementerian Luar hari ini, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sudah menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan butiran terperinci mangsa yang terbabit dalam tragedi itu.

“Kementerian Luar ingin mengesahkan berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh daripada kerajaan Indonesia, pesawat Lion Air JT-610 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada jam 6.20 pagi waktu Indonesia Barat, terhempas di perairan Karawang, utara Pulau Jawa selepas 15 minit berlepas.

“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit di dalam kejadian ini. Pihak Kedutaan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan terkini.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut mengenai kejadian ini boleh menghubungi pihak Kedutaan menerusi emel [email protected]/[email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp),” katanya.

Menurut kenyataan itu, pesawat jenis Boeing 737-800 membawa seramai 188 orang penumpang termasuk seorang kanak-kanak, dua bayi serta tujuh kru, sedang dalam penerbangan dari Jakarta ke Pangkal Pinang, Kepulauan Bangka Belitung.

“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dilaksanakan oleh pasukan penguatkuasa Indonesia di lokasi kejadian,” katanya.- BH

Comment