(VIDEO) Sampai bila tuntutan hak-hak Sabah terus dikaji?- Ahli Parlimen Ranau
07:10 Oct 31, 2018  |  By SabahKini2
(VIDEO) Sampai bila tuntutan hak-hak Sabah terus dikaji?- Ahli Parlimen Ranau

VIDEO Ucapan YB Jonathan Yasin yang menyentuh hati dan berkesan mengenai tuntutan hak-hak Sabah.

KUALA LUMPUR: Ucapan YB Jonathan Yasin Ahli Parlimen Ranau (PKR) dipuji sebagai contoh pembahas yang bercakap dengan hati membawa suara nurani rakyat Sabah.

Beliau berbicara lembut, berfakta dan tegas tetapi tidak menyinggung. Sampai bila hak-hak Sabah mahu terus dikaji dan terus kaji. Sedangkan pembentukan Malaysia dahulu Semenanjung telah berjanji akan memberikan hak Sabah yang sewajarnya.

Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian sewajarnya kepada Sabah dan Sarawak supaya kedua-dua negeri itu dapat ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan negeri lain di Semenanjung.Jonathan Yasin (PH-Ranau) berkata beliau tidak mahu rakyat di kedua-dua negeri itu merasakan terpinggir kerana tidak dilayan sebaik mungkin.

“Satu masa saya mengkaji saya dapati memang betul rakyat Sabah termiskin nombor satu, penyakit malaria juga tertinggi nombor satu…gaji juga nombor satu paling rendah kalau kerja buruh, komoditi juga nombor satu paling murah.

“Bekalan air bersih paling teruk nombor satu juga, begitu juga bekalan eletrik…kita hadapi semua perkara ini. Tetapi adakah bila kita kaji dasar-dasar kerajaan, ekonomi dan sebagainya kita mengambil kira semua ini ? Bila kita akan selesaikan isu-isu ini ? ” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 pada persidangan Dewan Rakyat.

Jonathan dalam hujahnya turut menggesa kerajaan pusat untuk mengambil tindakan yang serius dan tidak lagi berdolak dalik, antaranya dalam isu royalti minyak.

“Bila kita minta supaya diberi perkara lebih baik untuk Sabah misalnya dalam isu minyak, ia hanyalah dijanji, dikaji, dijanji dan dikaji sahaja, masa Barisan Nasional kaji masa Pakatan Harapan pula janji.

“Dalam buku (manifesto) kita dijanjikan dalam 100 hari, patut dah ada keputusan tetapi sampai sekarang masih di peringkat kajian,” katanya.

9 Comments