MA63: Anggota Jawatankuasa Pemandu perlu dibuat secara adil - Abang Johari
15:10 Oct 31, 2018  |  By SabahKini2
MA63: Anggota Jawatankuasa Pemandu perlu dibuat secara adil - Abang Johari

Jumlah keanggotaan Jawatankuasa Pemandu perlu dibuat secara adil dengan meletakkan jumlah yang sama mewakili Sarawak, Sabah dan kerajaan persekutuan.

KUCHING-  Perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu memberi keadilan kepada Sarawak yang juga rakan kongsi semasa negara ini ditubuhkan, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata jumlah keanggotaan Jawatankuasa Pemandu perlu dibuat secara adil dengan meletakkan jumlah yang sama mewakili Sarawak, Sabah dan kerajaan persekutuan.

"Banyak hak-hak kita (Sarawak) telah terhakis, saya telah minta dan tulis surat kepada kerajaan persekutuan, kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) supaya ada keadilan dalam kita hendak menyelesaikan MA63. Kalau benarlah kita sebagai rakan, number (bilangan) mestilah adil Sarawak lima, Sabah lima dan kerajaan Persekutuan lima.

"Perbincangan mengenai MA63 juga meliputi obligasi kewangtan oleh kerajaan persekutuan kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Persekutuan Perlembagaan, Segala perbincangan mengenai MA63 ini dapat memberi kesan kepada pembangunan di Sarawak termasuk kepada masyarakat Melayu," katanya swemasa berucap merasmikan penangguhan Seminar Budaya Melayu Sarawak Ketujuh, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datuk Dr Sanib Said.

Jawatankuasa Pemandu bagi mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63 dianggotai oleh 16 anggota iaitu lima wakil dari Sabah, tiga dari Sarawak dan lapan daripada Semenanjung Malaysia.

Mengulas mengenai seminar tersebut, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan mengambil maklum 70 resolusi yang diluluskan semasa seminar tersebut.

"Kita ambil perhatian dengan resolusi yang diluluskan. Penganjuran seminar ini adalah antara cara untuk kita mendapatkan maklum balas kehendak masyarakat Melayu di negeri ini," katanya.

Seminar tiga hari itu dihadiri 1,000 peserta yang diadakan sebagai platform perbahasan untuk masyarakat Melayu negeri ini menyuarakan pandangan mereka.- BERNAMA

 

1 Comment