Jeffrey Kitingan kekal MP Keningau
13:11 Nov 02, 2018  |  By SabahKini2
Jeffrey Kitingan kekal MP Keningau

Hakim P Ravinthran membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Anggota Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon WARISAN, Jikulin Nointin @ Anastasius.

Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu, Sabah hari ini mengekalkan kemenangan Parti Solidariti Tanahairku (STAR Sabah) bagi kerusi Parlimen Keningau di Sabah selepas menolak petisyen yang difailkan oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN) terhadap keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi kawasan parlimen itu.

Hakim P Ravinthran membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Anggota Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon WARISAN, Jikulin Nointin @ Anastasius.

Susulan keputusan itu, Ravinthran turut memerintahkan Jikulin membayar kos RM10,000 kepada Jeffrey, yang juga presiden STAR Sabah.

Dalam permohonan itu,Jeffrey menamakan Jikulin sebagai responden tunggal.

Pada Jun lalu, Jikulin memfailkan petisyen pilihan raya itu untuk menuntut perintah mahkamah bagi mengisytiharkan kemenangan Jeffrey pada kerusi Parlimen Keningau sebagai tidak sah.

Jeffrey diwakili oleh peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan Henry Gudid manakala Jikulin oleh Benjamin Chin dan Chong Kian Ming.

Pada PRU ke-14, 9 Mei lalu, Jeffrey memenangi kerusi parlimen itu dengan majoriti tipis 45 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Jeffrey memperoleh 13,286 undi manakala Jikulin mendapat 13,241 undi dan calon Barisan Nasional (BN), Daniel Kinsik dari Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh 12,742 undi.

Calon lain Juis Awang dari Parti Cinta Sabah (PCS) memperoleh 433 undi manakala dua calon Bebas, Maimin Rijan dan Justin Guka masing-masing mendapat 248 dan 199 undi. - Bernama

4 Comments