Mohd Shafie mahu perincian agihan peruntukan untuk Sabah
05:11 Nov 03, 2018  |  By SabahKini2
Mohd Shafie mahu perincian agihan peruntukan untuk Sabah

Belum ada perincian mengenai peruntukan itu tujuan apa namun berharap ia lebih kepada pembangunan infrastruktur asas berkenaan.

KOTA KINABALU-  Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap peruntukan sebanyak RM5,009 juta untuk Sabah dalam Belanjawan 2019 akan lebih digunakan untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, air, elektrik serta kemudahan kesihatan.

Katanya walaupun belum ada perincian mengenai peruntukan itu tujuan apa namun berharap ia lebih kepada pembangunan infrastruktur asas berkenaan.

“Namun kita mahu tahu perinciannya secara lebih spesifik, (sebab) cuma jumlah keseluruhan sahaja yang dinyatakan di situ,” katanya dalam kenyataan di sini sebagai mengulas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dawan Rakyat hari ini.

Menurut Mohd Shafie kemudahan kesihatan seperti ubat-ubatan juga perlu ditingkatkan kerana rakyat Sabah bukan hanya perlukan doktor dan bangunan hospital yang besar tetapi juga bekalan ubat-ubatan yang mencukupi.

Mengenai pembangunan sektor pelancongan, Mohd Shafie berkata beliau gembira dengan konsep pengagihan 50 peratus hasil cukai yang diperoleh kerajaan pusat kepada negeri-negeri.

“Saya yakin sekiranya Kerajaan Pusat memperoleh RM50 juta, maka RM25 juta akan diperoleh di peringkat negeri. Jika ia meningkat kepada RM100 juta kemungkinan negeri-negeri yang menggalakkan pelancongan ini akan memperolehi hasil yang lebih banyak.

Bagi saya ini satu pendekatan baharu untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan yang merupakan sektor yang diberi tumpuan oleh negeri Sabah,” katanya .

Mohd Shafie juga gembira kerana soal keselamatan, khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) turut mendapat tumpuan dalam belanjawan kali ini.

Mengenai usaha mengurangkan levi tenaga buruh dalam bidang perladangan, Mohd Shafie  berkata ia akan membantu mempertingkatkan lagi pembangunan sektor itu yang merupakan tulang belakang Sabah.

--BERNAMA

1 Comment