Belanjawan 2019 bajet populis PH sisihkan banyak golongan kata Hajiji
13:11 Nov 04, 2018  |  By SabahKini2
Belanjawan 2019 bajet populis PH sisihkan banyak golongan kata Hajiji

Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng lebih kepada bajet populis, yang tidak seimbang dengan banyak golongan rakyat tidak mendapat manfaat daripadanya.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan Belanjawan 2019 merupakan bajet “populist” Pakatan Harapan.

Pengerusinya Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ianya bukan bajet yang mesra dan menyeluruh untuk semua golongan rakyat.

“Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng lebih kepada bajet populis, yang tidak seimbang dengan banyak golongan rakyat tidak mendapat manfaat daripadanya.

“Tidak ada yang dapat dibanggakan dengan Belanjawan 2019, malah ianya menafikan hak dan kelayakan Sabah dan Sarawak untuk mendapat hasil yang sewajarnya dipulangkan kepada kedua-dua negeri ini”, katanya.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, Belanjawan 2019 lebih menyasar kepada golongan isi rumah B40, sementara itu tidak ada yang menarik untuk golongan menengah ke atas.

Beliau juga mendapati, tiada sebarang inisiatif baru yang dikhususnya untuk membantu rakyat terutamanya rakyat luar bandar dan rakyat miskin bandar.

Katanya, Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dicadangkan juga menyerupai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan semasa zaman Barisan Nasional (BN). Sebaliknya jumlah penerima BSH hanya seramai 4.1 juta rakyat berbanding hampir 6.5 juta rakyat yang dapat menikmati BR1M semasa BN memerintah.

Menurutnya, keputusan Kerajaan PH untuk mengapungkan semula harga Petrol RON 95 di pasaran juga berbeza dengan janji PH yang akan menurunkan harga petrol.

Beliau berkata, golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil juga tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya oleh PH kerana pelbagai bantuan yang diberikan kepada golongan berkenaan semasa Kerajaan BN tidak disentuh dalam Belanjawan 2019.

Beliau menarik perhatian, Belanjawan 2019 juga tidak merangkumi peruntukan untuk projek pembesaran lapangan terbang dan port transhipment hub di Sabah serta Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0 tidak menyentuh jumlah syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah yang terlibat.

 

 

 

Comment