Saya nasihatkan penyokong tidak timbulkan kekecohan- Pesuruhjaya Polis Sabah
11:11 Nov 06, 2018  |  By SabahKini2
Saya nasihatkan penyokong tidak timbulkan kekecohan- Pesuruhjaya Polis Sabah

Pada 25 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 7 November ini untuk mendengar keputusan berhubung siapa Ketua Menteri Sabah yang sah.

SELAIN persekitaran Kompleks Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, anggota polis turut ditempatkan di beberapa lokasi penting termasuk di pusat pentadbiran kerajaan negeri sempena prosiding mendengar keputusan berhubung siapa Ketua Menteri Sabah yang sah, Rabu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya akan menugaskan anggota polis untuk menjaga keamanan di persekitaran mahkamah seperti penugasan sebelum ini.

“Selain di kawasan mahkamah, kita juga menempatkan penugasan anggota polis di kawasan-kawasan lain khususnya di pusat pentadbiran kerajaan negeri kerana terdapat maklumat ada pihak tertentu akan cuba menimbulkan kekecohan.

“Selain itu, kawasan-kawasan lain pun, kita akan buat pemantauan daripada segi penugasan meletakkan kehadiran anggota polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Berikutan itu, Omar menasihatkan penyokong bagi kedua-dua pihak supaya menghormati soal keselamatan dan ketenteraman orang ramai.

“Saya menasihatkan penyokong-penyokong supaya tidak menimbulkan kekecohan yang menyalahi undang-undang ketika prosiding sedang berlangsung.

“Jika ia berlaku, kita tiada pilihan, melainkan menangkap sesiapa saja yang cuba mengganggu gugat atau mengancam keselamatan awam,” katanya.

Pada 25 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 7 November ini untuk mendengar keputusan berhubung siapa Ketua Menteri Sabah yang sah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan pihak plaintif dan defendan kes saman difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Jen Kie menetapkan pendengaran keputusan itu dibuat pada jam 2.30 petang.

Musa pada Jun lalu memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa Musa kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.- HM

9 Comments