(VIDEO) Ribuan menyambut kepulangan Musa Aman di KKIA
06:11 Nov 07, 2018  |  By SabahKini2
(VIDEO) Ribuan menyambut kepulangan Musa Aman di KKIA

Selepas didakwa di mahkamah semalam Tan Sri Musa sedikitpun tidak undur. Terus melawan. Hari ini ribuan penyokong menyambut kepulangan Musa Aman di KKIA

KOTA KINABALU: Ribuan penyokong Tan Sri Musa Aman sudah mula berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi menyambut kepulangan  Ketua Menteri Sabah sebenar itu yang dijadual pulang hari ini.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, dijadualkan tiba pada jam 12.30 tengah hari, namun ada penyokongnya yang dilaporkan tiba di terminal itu sejak jam 8 pagi lagi.

Antara yang kelihatan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Masidi Manjun, pemimpin Gabungan Bersatu Sabah dan ramai lagi.

Semalam walaupun tular mesej pelbagai arahan dibuat oleh Kerajaan Negeri agar menyekat kepulangan Tan Sri Musa seperti arahan Setiausaha Kerajaan Negeri menutup semua tempahan Balai Seri Kinabalu hinggalah pasukan keselamatan seperti polis dan sebagainya tapi tetap tidak menghalang kehadiran ribuan penyokong Tan Sri Musa. Arahan sedemikian hanya akan lebih mengundang simpati terhadap Musa Aman.

Semalam, Musa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 35 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan konsesi balak di negeri ini membabitkan transaksi bernilai antara AS$28,500 hingga AS$16,148,547 yang keseluruhannya berjumlah RM263 juta antara 10 hingga 14 tahun lalu.

Beliau dikenakan jaminan RM2 juta oleh mahkamah dan dikehendaki membayarnya sebelum boleh pulang ke Sabah.

Musa bagaimanapun berikrar akan melawan dan membersihkan namanya di mana pertuduhan ini dibuat ketika dua hari lagi menanti penentuan siapa Ketua Menteri Sabah yang sah. Musa dan peguammnya mempersoalkan pertuduhan itu.

Musa memaklumkan beliau terkejut dengan pertuduhan yang dihadapinya sedangkan namanya sudah dibersihkan di Parlimen pada 10 hingga 14 tahun lalu.

“Kenapa (ia menjadi isu) sekali lagi? Dakwaan ini sudah dibersihkan oleh menteri ketika itu di Parlimen, Nazri Aziz,” kata Musa.

[ARTIKEL BERKAITAN- (VIDEO) Ini kes lama sudah dibersihkan di parlimen, saya akan lawan- Musa ]

Hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Yew Jen Kie akan mengumumkan keputusan berhubung pertikaian jawatan Ketua Menteri Sabah yang difailkan Musa.

Yew yang selesai mendengar hujah lisan daripada pihak plaintif dan defendan berhubung kes itu pada 25 Oktober lalu dijadualkan mengumumkan keputusannya pada jam 2.30 petang hari ini

Musa pada Jun lalu memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa Musa kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

 

 

1 Comment