“Kita perlu tawarkan pemegang IMM13 sejenis dokumentasi tetapi bukan warganegara” - Timbalan Menteri KDN
11:11 Nov 16, 2018  |  By SabahKini2
“Kita perlu tawarkan pemegang IMM13 sejenis dokumentasi tetapi bukan warganegara” - Timbalan Menteri KDN

Sebelum ini Shafie Apdal terkejut tidak dimaklum IMM13. Kini Azis Jamman Timbalan Menteri KDN cadangkan perlu tawarkan pemegang IMM13 sejenis dokumentasi untuk membolehkan mereka tinggal di Sabah tetapi bukan warganegara

KOTA KINABALU- Kerajaan Persekutuan akan berdepan kesukaran mengusir pendatang Filipina yang memegang pas sementara IMM13 di Sabah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman.

Ini adalah kerana kerajaan Filipina tidak lagi mengiktiraf mereka sebagai warganegara, katanya.

“Ada cadangan untuk menghantar pulang pemegang IMM13 dan kita juga mahu hantar mereka pulang. Tetapi, isu utamanya sekarang adalah Filipina tidak akan menerima mereka.

“Jadi apa kita patut buat? Kita tak boleh tinggalkan mereka. Ia sekarang jadi masalah Sabah,” kata Azis pada dialog masalah undang-undang antara kehakiman, agensi kerajaan dan wakil rakyat Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

IMM13 adalah pas sementara yang dikeluarkan kepada pendatang bermula pada 1963. Sejak itu, 90,000 pas sudah dikeluarkan, walaupun hanya 50,000 yang masih aktif.

Kebanyakan pemegang pas tersebut adalah rakyat Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an kerana perang saudara di selatan Filipina. Pas itu dihentikan pengeluarannya pada 1978 selepas kerajaan Filipina dan Indonesia mengeluarkan pasport.

Bagaimanapun, mereka yang diberikan pas IMM13 boleh memperbaharuinya secara tahunan.

Dialog disertai Azis itu menumpukan kepada isu kewarganegaraan, pendatang dan penduduk tanpa kerakyataan di Sabah.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata beliau berharap dialog itu boleh mencadangkan penyelesaian kepada isu tersebut.

“Saya fikir kita perlu tawarkan pemegang IMM13 sejenis dokumentasi untuk membolehkan mereka tinggal di Sabah dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.

“(Tetapi) dokumen itu bukan kewarganegaraan,” katanya.

Tambahnya lagi, perkara sama berkaitan pelarian Rohingya juga dibincangkan di Parlimen dan cadangan supaya mereka diberikan IMM13 dikemukakan.

Tetapi, Azis berkata Sabah tidak boleh menerima pelarian Rohingya kerana negeri itu masih lagi berusaha menyelesaikan masalah pendatang Filipina.

Beliau memberikan amaran Semenanjung bakal berdepan masalah serupa Sabah sekiranya IMM13 diberikan kepada Rohingya.- TMI

Sebelum ini kecoh mengenai dokumen IMM13 dan serbuan di pejabat Jabatan Imigresen. Bagaimanapun Shafie Apdal terkejut beliau tidak dimaklumkan mengenai IMM13.

[ARTIKEL BERKAITAN- IMM13: Shafie terkejut Azis Jamman Timbalan Menteri KDN dan imigresen tidak beritahunya ]

 IMM13: Shafie terkejut Azis Jamman Timbalan Menteri KDN dan imigresen tidak beritahunya

 

 

19 Comments