Polis akan terus jalan operasi kesan saki-baki pengganas
00:11 Nov 18, 2018  |  By SabahKini2
Polis akan terus jalan operasi kesan saki-baki pengganas

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima masih ada anggota kumpulan pengganas yang cuba bersembunyi di Sabah.

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pihak polis terus melakukan operasi untuk mengesan saki-baki kumpulan pengganas di negeri ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima masih ada anggota kumpulan pengganas yang cuba bersembunyi di Sabah.

“Oleh itu pihak polis khususnya Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman terus mengesan individu yang dipercayai terlibat dengan kumpulan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kepolisan Komuniti Bersama Pesuruhjaya Polis Sabah di Tanjung Aru Baru, di sini semalam.

Beliau berkata walaupun masih terdapat saki-baki kumpulan pengganas itu di negeri ini, namun beliau meminta orang ramai agar tidak bimbang kerana individu yang disyaki anggota kumpulan pengganas itu hanya mahu bersembunyi.

“Mereka yang terlibat dengan kumpulan pengganas ini hanya mahu bersembunyi di negeri ini dan tidak mahu dikesan oleh pihak polis kerana sebelum ini mereka pernah terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas itu di negara jiran,” tambahnya.

Dalam operasi di Sabah dan Putrajaya pada 30 Okt hingga 12 Nov lepas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia telah berjaya menahan lapan suspek yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas. 

mengenai program kepolisan komuniti itu, Omar berkata ia adalah program turun padang yang bertujuan untuk mendekati masyarakat melalui pelbagai acara yang dilakukan termasuk dialog. — Bernama

5 Comments