Selesaikan masalah Sijil lahir dan Kad Pengenalan Kaum Lundayeh Long Pasia
13:11 Nov 18, 2018  |  By SabahKini2
Selesaikan masalah Sijil lahir dan Kad Pengenalan Kaum Lundayeh Long Pasia

Hanya suku kaum Lundayeh di Long Pasia yang tidak mempunyai sijil lahir dan kad pengenalan dibantu bukan warga PTI yang tinggal di Long Pasia

SIPITANG: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta kerjasama pihak bertanggungjawab khususnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyelesaikan masalah suku kaum Lundayeh di Long Pasia, dekat sini yang tidak mempunyai sijil lahir dan kad pengenalan.

"Hari ini saya membuat lawatan ke sini dan ada penduduk setempat yang berjumpa mengadu bahawa sehingga kini mereka tidak mempunyai sijil lahir serta kad pengenalan.

"Mereka bukan pendatang asing...mereka ini orang tempatan yang telah tinggal di kampung ini sejak berpuluh tahun lepas. Oleh itu kita harus selesaikan masalah ini dan kita minta kerjasama pihak berwajib untuk datang ke Long Pasia kerana mereka tidak boleh ke Kota Kinabalu kerana terlalu jauh dan jalan raya yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Long Pasia dan melawat beberapa kawasan di kampung berkenaan hari ini.

Mohd Shafie berkata ketiadaan sijil lahir dan kad pengenalan itu perlu diselesaikan kerana ia akan mendatangkan masalah kepada persekolahan anak-anak.

Mengulas mengenai lawatan ke Kampung Long Pasia, beliau berkata ia adalah lawatan pertama beliau ke kampung berkenaan sejak 30 tahun lalu dalam kabinet dan kini Ketua menteri untuk melihat sendiri keadaan dan masalah yang dihadapi di situ.

"Dalam lawatan ini saya juga telah menyempurnakan majlis penyerahan bangunan baharu SK Long Pasia dan pada masa yang sama saya dapati masih banyak kekurangan di sekolah ini.

"Oleh itu saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk membina kantin dan bangunan pentadbiran SK Long Pasia. Selain itu, saya meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk menaik taraf gereja Sidang Injil Borneo Long Pasia," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob supaya dibuka semula operasi Lapangan Terbang Long Pasia yang ditutup sejak sekian lama, Mohd Shafie berkata usaha untuk majukan pelancongan di kawasan itu perlu dilakukan sebelum mempertimbangkan cadangan berkenaan.

"Apa yang penting kita perlu majukan produk peloncangan terlebih dahulu... ada tempat tinggal, tempat makan, dan perlu mewujudkan pusat tarikan pelancong.

"Tempat ini (Long Pasia) sangat cantik dan masih banyak perkara yang boleh dilakukan seperti membangunkan industri ternakan dan industri bambu," tambahnya.

Long Pasia terletak kira-kira 130 kilometer dari pekan Sipitang, kampung ini bersempadan antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur, Indonesia, yang dihuni kira-kira 1,000 penduduk.

Long Pasia terletak kira-kira enam jam perjalanan dari Pekan Sipitang hanya boleh dilalui jalan hutan balak dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu netizen Sipitang berharap bantuan projek IC itu hanya perlu dibuat kepada warga tempatan Lundayeh dan bukannya warga asing yang juga telah menetap di Long Pasia termasuk berkahwin dengan warga tempatan kerana sebelum ini warga asing ini bekerja di kawasan pembalakan.Permohonan itu perlu diselesaikan secara teliti.

Datuk Dr Yusof Yacob yang juga pernah menjadi Ahli Parlimen Sipitang dua penggal sepatutnya sudah maklum keadaan Long Pasia dan membetulkan semula kegagalannya sebagai Ahli Parlimen sebelum ini. 

1 Comment