Pasaran tempatan lembab akibat ketidaktentuan ekonomi luaran
00:11 Nov 19, 2018  |  By SabahKini2
Pasaran tempatan lembab akibat ketidaktentuan ekonomi luaran

Kebanyakan pelabur mengubah kepentingan mereka kepada aset lebih selamat selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pertumbuhan global yang perlahan untuk 2018-2019, sebanyak 3.7%.

KUALA LUMPUR: Pasaran tempatan kebanyakan lembap minggu ini berikutan isyarat daripada beberapa faktor ketidaktentuan, termasuk berita bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan terus mengetatkan dasar monetarinya, penurunan harga minyak global, juga pasca pilihan raya pertengahan penggal AS.

Kebanyakan pelabur mengubah kepentingan mereka kepada aset lebih selamat selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pertumbuhan global yang perlahan untuk 2018-2019, sebanyak 3.7%.

Harga minyak juga dalam aliran menurun pada kebanyakan hari dalam minggu ini dengan minyak Texas West Intermediate dan Brent masing-masing susut di bawah AS$60 dan AS$70 setong pada Rabu, disebabkan oleh bekalan yang meningkat dari AS dan jangkaan permintaan akan goyah akibat kelembapan ekonomi.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata, pemulihan ekonomi berlaku sedikit bermula Khamis selepas laporan berita Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakan membincangkan cadangan untuk memotong pengeluaran sehingga 1.4 juta tong sehari (bpd).

Data inflasi AS sederhana dikeluarkan pada Rabu serta komen berhati-hati berkenaan unjuran ekonomi yang dijelaskan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell, memberikan peluang kepada mata wang tempatan untuk pulih.

Pemulihan ringgit menyebabkan pasaran komoditi meningkat sedikit permintaannya dalam kalangan peniaga untuk menyimpan stok mereka menjelang hujung minggu.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, mata wang tempatan melalui minggu yang aneh minggu ini, bergelut untuk mencari arah, sama juga keadaannya dengan pasaran serantau pada kebanyakan hari dalam minggu ini.

“Ringgit memperlihatkan daya tahan terhadap kenaikan terkini kadar faedah AS dan harga minyak yang meningkat ke paras tertinggi sejak 2014, tetapi ia melalui akhir minggu dalam keadaan tertekan selepas pengesahan ekonomi AS berkembang melebihi 4.0% yang menggalakkan pembelian dolar AS pada petang Khamis,” katanya.

Sementara itu, di pasaran saham, perkembangan luaran yang tidak begitu menarik terus mempengaruhi minat pelabur asing minggu ini dengan jualan meningkat berbanding minggu lepas.

Bagi tempoh Isnin ke Jumaat, jualan asing mencecah angka RM457.87 juta, berbanding RM182.9 juta minggu lepas.

Pelabur asing berubah kembali kepada jualan bersih sejak minggu lepas selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Sebaliknya, pasaran menyaksikan penyertaan aktif institusi tempatan dengan RM359.06 juta jumlah belian untuk tempoh Isnin hingga Khamis berbanding prestasi belian minggu lepas.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata terdapat kebimbangan terhadap harga minyak, terutama apabila Brent didagangkan di bawah AS$70 setong.

Katanya, ketidakseimbangan dalam pasaran minyak mentah masih berleluasa dengan bekalan masih berlebihan.

“Kita juga percaya pasaran akan memerhatikan dengan rapat perkembangan berkaitan mesyuarat antara Presiden Trump dengan Xi Jinping menjelang hujung November sewaktu Sidang Kemuncak G20.

“Terdapat juga perbincangan mengenai Brexit dan rundingan Belanjawan 2019 Itali dengan Suruhanjaya Eropah, yang mana berpotensi menjejaskan sentimen pelabur.

“Singkatnya, ia akan menjadi berhati-hati dan pelabur mungkin meneruskan strategi pertahanan,” katanya.

Berkenaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2018, ia adalah di bawah jangkaan pasaran disebabkan penguncupan dalam eksport bersih dan pelaburan awam.

Bagaimanapun, perbelanjaan pengguna kekal dengan pertumbuhan pesat pada 9% yang melebihi tahap aliran berkenaan.

“Pelaburan persendirian terus berkembang sihat, sekali gus memperlihatkan syarikat mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka.

“Justeru sektor swasta adalah pemacu utama. Untuk masa hadapan, unjuran kekal tidak menentu, terutama berkaitan perang perdagangan, peningkatan kadar faedah di AS dan perkembangan ekonomi lain. Ia akan menjadi prospek yang mencabar pada tahun depan,” katanya.- FMT

Comment