UPKO gigit jari lagi Naib Presiden keluar parti
16:11 Nov 25, 2018  |  By SabahKini2
UPKO gigit jari lagi Naib Presiden keluar parti

Upko bingung lagi apabila pemimpinnya keluar parti sama ada menjadi bebas atau mesra Warisan

KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Masiung Banah mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa hari ini.

Sehubungan itu, Masiung yang juga Ketua UPKO Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut turut melepaskan semua jawatannya dalam parti.

Berikutan keputusan itu, Masiung berkata, beliau kini menjadi ADUN Bebas namun mesra kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Saya sudah memikirkan perkara ini agak lama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Apa yang menyebabkan saya lama membuat keputusan ialah kerana sayangkan parti,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) UPKO Kinabatangan di sini, petang tadi.

Masiung berkata, keputusan meninggalkan UPKO antara lain disebabkan perbezaan pendapat dan mengakui sukar bekerjasama jika ‘tidur sebantal, mimpi lain-lain’.

Katanya, sebanyak 30 daripada 32 AJK UPKO Kinabatangan menyokong keputusannya keluar parti.

Ditanya sama ada akan menyertai parti lain atau ada pemimpin mana-mana parti menawarkan tempat kepadanya, Masiung berkata, tidak buat masa ini.

Dalam majlis sama, Ketua Komulakan (Belia) UPKO Kinabatangan, Willy Fraus Darinsok turut mengumumkan keluar parti.

Selepas PRU-14, Masiung dan tiga lagi ADUN UPKO iaitu Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) meninggalkan ‘kerajaan negeri’ pimpinan Tan Sri Musa Aman dan mengikut Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau menyokong Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Seorang lagi ADUN UPKO, Datuk Bobbey Ah Fang Suan (Nabawan) tidak mengikut mereka, sebaliknya menyokong Gabungan Bersatu Sabah (GBS). – Berita Harian

4 Comments