Sarawak ada hak pilih wakil ke mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 17 Disember
22:12 Dec 01, 2018  |  By SabahKini2
Sarawak ada hak pilih wakil ke mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 17 Disember

[VIDEO] Meskipun Jawatankuasa Pemandu di peringkat pusat telah menamakan wakil dari Sarawak dalam jawatankuasa tersebut, tetapi kita ada hak untuk memilih wakil kita sendiri.

 

 

Pengerusi Jawatankuasa Perunding MA63
Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar

 

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengetuai delegasi Sarawak bagi menghadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 17 Disember ini. 

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 tersebut akan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Perunding MA63 Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar  berkata Ketua Menteri akan memilih sendiri ahli-ahli yang akan menyertai delegasi tersebut. 

"Meskipun Jawatankuasa Pemandu di peringkat pusat telah menamakan wakil dari Sarawak dalam jawatankuasa tersebut, tetapi kita ada hak untuk memilih wakil kita sendiri. 

"Jawatankuasa Perunding yang kita tubuhkan ini adalah untuk membantu Ketua Menteri dan menasihatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung pemulihan hak-hak Sarawak dalam MA63," katanya. 

Asfia yang juga Speaker DUN berkata demikian pada sidang media di Kompleks DUN di sini hari ini bersama ahli-ahli Jawatankuasa Perunding MA63 Sarawak yang lain. 

Beliau turut menegaskan pendirian jawatankuasa tersebut untuk bersuara dengan satu suara demi Sarawak. 

"Kita mesti berpandukan kepada sejarah, perundangan yang logik dan perlembagaan yang tepat dalam pendekatan kita. 

"MA63 adalah suci kerana ia bukan hanya perjanjian tetapi juga perjanjian antarabangsa dan tiada sesiapa boleh hentikan perjalanan sejarah," katanya. 

Dalam pada itu, Jawatankuasa Perunding MA63 Sarawak ditubuhkan di bawah Perintah Tetap 89, Perintah Tetap DUN dan Perkara 24 (1) Perlembagaan Sarawak menerusi usul bertarikh 6 November 2018. 

Jawatankuasa ini turut dianggotai Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Dato Sri Wong Soon Koh, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Datuk Gerawat Gala, Datuk Snowdan Lawan dan Abdullah Saidol. 

Ahli-ahli yang lain termasuklah Datuk Sebastian Ting, Datuk Idris Buang, Datuk Henry Harry Jinep, See Chee How, Irene Chang, Chiew Chiu Sing dan Ali Biju. -UB

Comment